NASIONAL

MoF tuntut pembayaran penuh pinjaman RM250 juta daripada NFCorp

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Kementerian Kewangan (MoF) sedang menuntut pembayaran penuh pinjaman RM250 juta, termasuk faedah dan caj faedah lewat, yang telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) pada 2008.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata tuntutan mahkamah akan dijalankan oleh Jabatan Peguam Negara terhadap syarikat itu yang masih berhutang RM253.6 juta kepada kerajaan.

Beliau berkata Notis Pengisytiharan Berlaku Keingkaran yang selaras dengan Klausa 14 Perjanjian Pinjaman di antara Kerajaan Persekutuan dan NFCorp telah dikeluarkan pada September 2014 dan perkara ini telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos 2018 untuk tindakan lanjut.

“Jabatan Peguam Negara sedang meneliti perkara itu dan akan mengumumkan perkembangan terkini jika ada,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

MoF menekankan bahawa NFCorp telah menerima kemudahan pinjaman RM250 juta daripada kerajaan pada 9 Januari 2008 dengan kadar faedah sebanyak dua peratus serta tempoh pinjaman selama 20 tahun dan tempoh tangguh selama tiga tahun.

Pinjaman itu dijamin oleh debentur yang ditandatangani bersama-sama dalam perjanjian pinjaman pada 6 Disember 2007.

“Berdasarkan penyata lengkap pinjaman Kerajaan Persekutuan sehingga 30 April 2019 dari Jabatan Akauntan Negara, jumlah baki pinjaman (terhutang) oleh NFCorp kepada kerajaan adalah sebanyak RM253.62 juta, termasuk faedah dan caj faedah lewat sehingga 30 April 2019.

“Dari jumlah tersebut, RM110.84 juta adalah jumlah terhutang untuk pembayaran balik kepada Kerajaan Persekutuan dari 30 April 2019, terdiri daripada tunggakan pokok pinjaman RM81.99 juta, faedah pinjaman sebanyak RM22.97 juta dan caj faedah lewat berjumlah RM5.89 juta,” kata Lim. -BERNAMA


Pengarang :