NASIONAL

Pahang berkabung 40 hari bermula hari ini

KUANTAN, 22 MEI: Pahang akan berkabung selama 40 hari bermula 12 tengah hari ini bagi menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Beliau berkata selama tempoh berkabung, semua bendera negeri akan dikibarkan setengah tiang dan untuk tempoh tiga hari pertama iaitu bermula hari ini sehingga 12 tengah hari Sabtu, tiada acara keraian atau hiburan dibenarkan.

Golongan kerabat Pahang akan berkabung selama 100 hari, katanya.

Sallehuddin berkata, jenazah almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah akan dikafankan di Istana Negara di Kuala Lumpur, sebelum diterbangkan ke Pangkalan Udara Kuantan di sini, pada petang ini.

“Jenazah akan dibawa ke Istana Abu Bakar di Pekan dan rakyat yang ingin menziarah dan memberi penghommatan terakhir boleh berbuat demikian bermula malam ini sehingga 9 pagi esok.

“Rakyat dibenarkan untuk melakukan solat jenazah sama ada secara bersendirian atau secara berjemaah di balairung tersebut,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Sallehuddin berkata mereka yang ingin menziarah diingatkan untuk berpakaian berkabung serba hitam yang sesuai, dengan golongan wanita dinasihatkan untuk memakai tudung atau seledang.

Sallehuddin berkata istiadat rasmi pemakaman dijadualkan bermula pada 9 pagi esok, dengan jenazah almarhum dibawa ke persada di Istana Abu Bakar untuk penghormatan terakhir oleh kerabat dan orang kenamaan, bermula 11 pagi.

“Jenazah almarhum seterusnya akan dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah yang terletak bersebelahan Makam Diraja dan solat jenazah akan diimamkan oleh Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman sebelum dimakamkan selepas Zohor esok,” katanya.

Sallehuddin juga mengesahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini berada di luar negara dijadualkan berangkat ke Istana Abu Bakar, pada pagi esok.

Semua surau dan masjid di Pahang juga diminta untuk mengadakan tahlil selama tiga malam berturut-turut bermula hari ini.

Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, pada 8.50 pagi tadi.

-BERNAMA

 


Pengarang :