NASIONAL

PAKATAN perlu model baharu ekonomi

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 10 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu menyediakan model baharu ekonomi yang lengkap bagi menentukan hala tuju dan prestasi ekonomi negara pada masa akan datang.

Pakar ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata namun tidak munasabah untuk mengharapkan kerajaan menyusunnya dengan cepat.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu ada model tetapi bukanlah sempurna. Hari ini, kerajaan baharu ini belum ada model, saya jangkakan model itu akan datang kemudian,” katanya.

Beliau membentangkan hujahnya di ‘Seminar PRU14 dan Setahun Selepasnya: Analisis dan Perspektif’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 2 Mei lalu.

Noor Azlan, bekas naib canselor UKM, berkata cabaran PAKATAN pada hari ini adalah untuk melaksanakan idea atau dasar baharu tanpa merencat atau mengganggu pertumbuhan sedia ada.

“Contoh, jika manifesto dilaksanakan dengan cepat, dalam ekonomi ia akan menjadi buruk. Jika berikan pendidikan percuma, siapa yang perlu bayar cukai tinggi? Siapa yang hendak bayar?

“Tol percuma, sudah tentu seseorang perlu bayar. Tidak boleh dalam tempoh setahun, perlukan masa. Jadi fikir, fikir dan fikir,” katanya.

Beliau juga menyarankan kepada kerajaan perlu meneruskan rasionalisasi subsidi bagi memastikan golongan sasar mendapat kelebihan.

“Tetapi di negara kita, semua mengaku susah. Kata miskin dan layak terima sedangkan tidak. Jadi, pemberian subsidi ini perlu diberikan kepada orang yang benar-benar layak sahaja,” katanya.

 


Pengarang :