NASIONAL

Tidak adil nilai ekonomi dalam setahun

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 10 MEI: Tidak adil untuk menilai prestasi Pakatan Harapan (PAKATAN) berdasarkan prospek ekonomi jangka pendek negara yang kurang baik dalam tempoh setahun ini.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid menegaskan isu ekonomi tidak dapat diselesaikan dalam tempoh hanya 12 bulan.

“Anda tidak boleh benar-benar menilai prestasi kerajaan itu baik atau tidak selepas setahun pilihan raya umum ke-14 (PRU) berlalu.

“Ini kerana ekonomi [negara kita] tertakluk kepada perubahan global dan serantau. [Keadaan] ini di luar kemampuan kita.

“Malaysia, misalnya, tidak dapat mempengaruhi harga minyak mentah atau mengawal keadaan jika terdapat perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Kebanyakannya, kita hanya ‘price takers’,” katanya di ‘Seminar PRU14 dan Setahun Selepasnya: Analisis dan Perspektif’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 2 Mei lalu.

Bagaimanapun, Dr Zakariah berkata kerajaan PAKATAN berjaya menyampaikan lebihan dagangan di tengah-tengah pasaran yang tidak menentu.

“Kita masih boleh mengeksport lebih banyak barang dagangan daripada kita mengimportnya,” katanya.

Beliau juga berharap Majlis Tindakan Ekonomi dapat merumuskan strategi baharu yang dapat mengemudi ekonomi ke landasan dan pertumbuhan lebih kukuh.


Pengarang :