NASIONAL

PEKAWANIS sumbang RM172,000, bantu persiapan Syawal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MEI: Sejumlah RM172,000 diperuntukkan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) kepada 43 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu golongan kurang bernasib baik menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Yang DiPertuanya, Masdiana Muhamad berkata, pihaknya komited untuk terus membantu kumpulan sasar berkenaan yang terdiri daripada ibu tunggal, mualaf dan asnaf seluruh negeri.

“Ini bukan kali pertama yang dilaksanakan PEKAWANIS. Sejak tahun 2008, pihak kami komited membantu kumpulan sasar tanpa mengira kaum dan agama.

“Kita akan terus memberi perhatian dan mengambil peduli golongan yang kurang berkemampuan.

“Malah, bukan sahaja pada musim perayaan sebegini, tetapi usaha ini akan berterusan kerana ia seiring dengan dasar Kerajaan Negeri yang sentiasa prihatin kepada rakyatnya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sumbangan Hari Raya, Tadabbur Al-Quran dan Iftar PEKAWANIS, di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini.

Masdiana berkata, seramai 30 orang terpilih dari setiap DUN akan menerima wang tunai dan barangan keperluan asas.

“Sumbangan ini hasil daripada peruntukan dari Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menerusi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

“Justeru, sumbangan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka untuk membuat persiapan menyambut perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi.

“PEKAWANIS amat prihatin dengan nasib mereka, apatah lagi pada musim perayaan sebegini sudah tentu kita bantu, supaya golongan ini dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria,” katanya.

Pada masa sama, Masdiana berkata, PEKAWANIS akan meneruskan agenda untuk memajukan umat Islam menerusi pelbagai program pembangunan insan yang akan dilaksanakan dari masa ke masa.

“Pada program ini, kira-kira 600 peserta menyertai program Tadabbur. Selain itu, kita turut mengadakan program zikir. Oleh sebab itu, program seperti ini akan terus dilaksanakan kerana sambutan yang sangat menggalakkan,” katanya.


Pengarang :