DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
BERITA UTAMASELANGOR

Pemimpin Melayu perlu hentikan cercaan bangsa sendiri – Sultan Selangor

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan para pemimpin terutama pemimpin Melayu supaya memainkan peranan membantu secara efektif tanpa memberi cercaan dan jolokan tidak baik hingga menyebabkan orang Melayu terus lemah serta hilang keyakinan.

Baginda bertitah, pemimpin Melayu tanpa mengira kumpulan diminta untuk menghentikan segala budaya politik retorik dan berhenti dari terus melabelkan orang Melayu dengan pelbagai kecaman yang negatif.

“Orang Melayu tidak perlu lagi menerima kritikan terbuka serta sindiran-sindiran yang berbentuk kecaman yang boleh menguris hati orang-orang Melayu.

“Yang diperlukan orang Melayu ketika ini adalah perpaduan yang erat terutama dalam kalangan pemimpin Melayu dan rakyat berketurunan Melayu.

“Orang Melayu perlu bekerja keras, mempunyai pemikiran yang betul dan positif, mempunyai hala tuju yang jelas di samping mempunyai nilai-nilai murni yang diterapkan agama Islam.

“Kita perlu akui tentang kelemahan yang ada pada orang Melayu, namun kelemahan ini boleh diatasi jika sekiranya dalam kalangan orang Melayu ditanam dengan sikap berbaik sangka, saling membantu antara satu sama lain dan tidak hanya bersikap mementingkan diri sendiri dengan melupakan kesusahan yang dihadapi bangsa sendiri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Menyampaikan Sumbangan Hari Raya Beserta Perasmian Masjid Taman Seri Muda, Seksyen 25, hari ini.

Menurut baginda, pemimpin Melayu jangan hanya memikirkan kepentingan jangka pendek dan hanya semata-mata mencari populariti di dalam satu kumpulan tertentu sehingga mengenepikan perkara asas dalam memelihara kepentingan orang Melayu secara keseluruhannya.

Titah baginda, sikap begini hanya menguntungkan kumpulan orang Melayu tertentu sahaja sedangkan majoriti orang Melayu terus mundur dan tenggelam di dalam arus kejayaan negara.

Sultan Sharafuddin bertitah, kejatuhan empayar Kesultanan Melaka juga wajar dijadikan pengajaran kerana kegemilangan yang dikecapi satu ketika dahulu akhirnya tumbang sekelip mata disebabkan sikap tidak baik orang Melayu sendiri dalam pentadbiran Melaka ketika itu.

“Sempena Ramadan yang mulia ini, di samping kita beribadat kepada Allah SWT, beta menyeru kepada seluruh orang Melayu agar memulakan langkah mulai hari ini untuk merapatkan saf, bersatu-padu, melupakan segala sengketa dan perselisihan faham dan mula memikirkan untuk bangkit semula menjadi satu bangsa yang kuat, bermaruah dan bermatlamat demi kepentingan agama, bangsa dan negara kita.

“Beta berkeyakinan penuh bahawa jika orang Melayu bersatu dan bekerjasama dengan erat, tiada rintangan yang tidak dapat kita atasi dan orang Melayu pasti akan mencapai kejayaan semula dan menjadi satu bangsa yang kuat dan bermaruah,” titah baginda.

 


Pengarang :