NASIONAL

Polis akan panggil penganjur himpunan di Jalan TAR

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Polis akan memanggil penganjur Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan yang diadakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini semalam, yang dikatakan tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Tanpa mengulas lanjut, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata, pihak penganjur akan dipanggil dalam masa terdekat bagi tujuan siasatan.

“Kita akan panggil mereka dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, Mohd Fahmi dilaporkan berkata, notis penganjur himpunan yang berlangsung di hadapan sebuah pusat membeli-belah itu tidak lengkap berikutan penganjur iaitu Gerakan Pembela Ummah (Ummah) gagal mengemukakan notis kebenaran daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Perhimpunan itu yang dilapor diadakan berikutan beberapa isu terkini termasuk ratifikasi Statut Rom bermula dari Masjid Jamek Kuala Lumpur tamat pada pukul 3.25 petang ekoran hujan lebat.

Mohd Fahmi berkata, setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat terhadap individu yang berucap ketika perhimpunan itu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :