BERITA UTAMASELANGOR

Selangor cadang ambil alih kutip caj beg plastik

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 15 MEI: Kerajaan Negeri bercadang mengambil alih peranan mengutip caj 20 sen beg plastik daripada pengusaha barangan runcit bagi menghasilkan lebih banyak beg kitar semula dan menjalankan kempen memelihara alam sekitar.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, mekanisma pelaksanaan program itu sedang dibincangkan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan berperanan untuk mengutip hasil pembelian beg plastik daripada pengusaha.

Beliau berkata, tindakan itu diambil kerana terdapat pengusaha yang tidak menggunakan hasil kutipan caj beg plastik untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Setelah kita kaji, kita akan kutip 20 sen melalui PBT daripada memberikan pasar raya mengutipnya. Kita sedang kaji mekanisme mudah untuk memulakannya sama ada tahun ini atau tahun hadapan.

“Kerajaan Negeri akan kutip sendiri selepas ini dan menghasilkan lebih banyak beg kitar semula untuk diberikan kepada pengguna.

“Dahulu kita benarkan pasar raya kutip dengan harapan mereka menggunakan hasil kutipan untuk buat CSR dan program alam sekitar tetapi kita dapati ada tidak buat. Sebab itu kita akan kutip sendiri daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurkan perasmian program Bazar Ramadan Mampan dan Kempen Amalan Hijau dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Taman Greenwood.

Katanya, hasil kutipan dilakukan PBT akan dimasukkan ke Tabung Amanah Negeri untuk dikumpulkan sebelum diagihkan semula kepada PBT bagi membolehkan mereka melakukan program CSR, alam sekitar dan menanam semula pokok.

Untuk rekod, Selangor mengarahkan tindakan mengenakan caj 20 sen kepada pengguna bagi setiap permintaan beg plastik, pada 2017.

 


Pengarang :