NASIONAL

Sultan Ahmad Shah berjiwa rakyat, mudah didampingi – Siti Nurhaliza

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MEI: Kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar dirasai penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Menerusi entri di Instagram, ikon seni kelahiran Kuala Lipis itu menyifatkan pemergian Almarhum hari ini sebagai satu berita sedih bagi seluruh rakyat Pahang dan kehilangan besar buat negara.

 

Pelantun lagu Biarlah Rahsia itu berkata, Almarhum adalah seorang sultan yang berjiwa rakyat dan mudah didampingi rakyat jelata.

 

“Patik dan suami mengucapkan serta menyembah salam takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, seluruh kerabat dan keluarga DiRaja Pahang di atas kemangkatan Almarhum Paduka Sultan Hj Ahmad Shah AlMusta’in Billah.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Almarhum dan digolongkan dalam kalangan para solehin. Al-Fatihah,” tulisnya.

 

Penyanyi yang berkelana di persada seni hiburan sejak 20 tahun lalu berkata, peluang mengadakan persembahan di hadapan Almarhum Sultan Ahmad Shah juga tidak akan dilupakan beliau.

“Sebagai rakyat Pahang yang berpeluang membuat persembahan di hadapan Almarhum Tuanku sejak saya bersekolah rendah dan seterusnya menjadi artis, banyak kenangan yang bermakna dan akan saya ingati sampai bila-bila,” tulisnya.

Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah disahkan mangkat kira-kira jam 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 89 tahun.


Pengarang :