SELANGOR

37 pelajar SJKT Pulau Carey terima subsidi tambang bas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 MEI: Sejumlah RM11,100 disalurkan kepada 37 pelajar Pulau Carey Timur, Kuala Langat menerusi bantuan subsidi tambang bas bagi anak-anak pekerja ladang Selangor, baru-baru ini.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, subsidi tambang bas sekolah itu adalah inisiatif mega Kerajaan Negeri bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk menikmati bantuan berkenaan.

Katanya, seramai 3,457 pelajar menikmati inisiatif itu bagi tahun ini berbanding 2,500 pelajar tahun lalu.

“Inisiatif ini dilaksanakan di bawah program tabung anak-anak pekerja ladang yang turut merangkumi bantuan yuran pengajian tinggi dan program kemahiran pekerja atau bekas pekerja ladang.

“Selain itu, program bengkel Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil turut diberikan perhatian,” katanya.

Ganabatirau berkata, program dilaksanakan sejak 2008 itu sangat penting bagi keluarga pelajar selain dapat mengurangkan beban kos sara hidup.

Menerusi bantuan itu, pelajar sekolah akan diberikan subsidi RM300 seorang bagi menampung perbelanjaan tambang bas sekolah selama 10 bulan.

Kerajaan Negeri memilih sekolah yang berada pada kedudukan terpencil dan keluarga berpendapatan rendah.


Pengarang :