BERITA UTAMASELANGOR

Tengku Permaisuri Norashikin rasai keenakan bahulu Masri

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri, Tengku Norashikin berkenan merasai sendiri keenakan bahulu panas di Wisma Masri, Parit 7, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda bersama rombongan Istana Sultan Selangor di WHP Enterprise itu adalah sempena lawatan mesra baginda ke Sekinchan.

Sejurus tiba kira-kira jam 2 petang, baginda disambut mesra pemilik termasuk kakitangan kedai yang mengusahakan produk tradisional itu.

Dalam kunjungan berkenaan, baginda diberi taklimat oleh pemilik kedai, khususnya cara pembuatan, pembungkusan dan pemasaran kuih bahulu.

Selain dijamu kuih bahulu, baginda juga berpeluang merasai kuih tradisional lain seperti kek gula hangus dan kuih semperit yang baru dikeluarkan daripada ketuhar.

Sebelum berangkat menuju ke lokasi seterusnya, baginda berkenan menerima sembah cendera kenangan berupa kuih bahulu gulung dan kerepek.

Baginda akan meneruskan lawatan mencemar duli ke Kampung Bagan dan Jeti Ah Hee bagi melihat aktiviti nelayan sebelum bersiar di Pantai Redang.

Manakala, pada sebelah malam, baginda menikmati santapan makanan laut yang amat terkenal di Sekinchan, Restoran Secret Garden 1960.

Sebelum berangkat pulang ke Istana, baginda dan rombongan mencemar duli menaiki bot untuk ke Jeti Sky Mirror bagi melihat keindahan dan meneroka keajaiban Blue Tears.


Pengarang :