NASIONAL

Tindakan segera tangani aduan kenaikan harga barang

 

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Tindakan segera akan diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menangani aduan kenaikan harga barang basah menjelang sambutan Aidilfitri termasuk aktiviti menyorok bekalan barangan keperluan asas.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini kementerian belum menerima sebarang aduan berhubung perkara itu namun menggesa pihak persatuan pengguna untuk segera melaporkan kepada pihak penguatkuasaan sekiranya terdapat aktiviti seumpamanya.

Saya suka mengajak pihak persatuan pengguna yang menerima aduan itu segera melaporkan kepada kami, kalau boleh kurang daripada 24 jam.

“Berikan spesifik premis perniagaan, barangan apa yang dikatakan harganya naik dan di mana berlaku aduan sorok barang itu kerana saya fikir itu lebih bijak dan bertanggungjawab agar tidak mewujudkan suasana panik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penarafan Zon Perdagangan Terpilih (ZPT) Zon Tengah bagi tahun ini di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Penguatkuasa (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa persatuan pengguna mula menerima aduan daripada orang ramai berhubung kenaikan harga barang-barang basah dan keperluan asas menjelang Aidilfitri terutama di Lembah Klang dan bahagian utara tanah air.

Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan setakat ini sebanyak 110 zon perdagangan yang meliputi 5,242 premis perniagaan di seluruh negara menerima pengiktirafan program Zon Perdagangan Terpilih (ZPT) sejak 2012 hingga kini.

Katanya daripada jumlah itu, 37 ZPT meliputi hampir 3,220 premis perniagaan telah berjaya mencapai tahap pematuhan penarafan sebagai ZPT selama tiga tahun berturut-turut.

“Program ini sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan kepada setiap kompleks perniagaan yang telah berjaya mencapai tahap pematuhan KPI (indeks petunjuk prestasi) di bawah Program Penguatkuasaan Bestari bagi tahun 2018,” katanya.

Program penarafan ZPT dilaksanakan di lima zon meliputi Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo dengan penglibatan negeri di bawah program ZPT.

Menurut Saifuddin, menerusi program itu, ia juga memberi hebahan kepada pengguna akan kewujudan kompleks perniagaan yang menjalankan perniagaan secara beretika melalui kaedah kawalan kendiri, selaras dengan peraturan dan perundangan yang dikuatkuasakan KPDNHEP. -BERNAMA​​​​​​


Pengarang :