SUKANKINI

UCL: Van de Beek pastikan kelebihan milik Ajax

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 1 MEI: Ajax Amsterdam terus melakar kejutan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menang 0-1 ke atas Tottenham Hotspur pada aksi pertama separuh akhir awal pagi tadi.

Jaringan tunggal Donny van de Beek pada minit ke-15 sudah cukup untuk membawa kelebihan gol di tempat lawan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur.

Ajax menguasai babak awal permainan dengan melancarkan serangan ke kubu Spurs dan van de Beek akhirnya memecah kebuntuan apabila berjaya melepasi perangkap ofside sebelum tenang merembat rendah ke sebelah kiri menewaskan penjaga gol, Hugo Lloris.

Selepas itu, tuan rumah mempunyai sekurang-kurangnya lima peluang keemasan menjaringkan gol tetapi gagal disempurnakan.

Kegagalan sama turut berlaku pada babak kedua malahan David Neres hampir menggandakan jaringan buat Ajax pada minit ke-77 tetapi percubaannya sekadar singgah ke tiang gol.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada separuh akhir kedua 9 Mei hadapan di Johan Cruijff Arena.

Kredit Foto: UEFA Champions League


Pengarang :