SELANGOR

WAZAN kutip lebih RM30 juta bantu kebajikan warga UPM

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SERDANG, 18 MEI: Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengutip lebih RM30 juta melalui 17 medium sepanjang tiga tahun penubuhannya.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris berkata, kutipan hasil wang bekenaan diperolehi melalui sumbangan terus di kaunter dan skim potongan gaji.

“WAZAN bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar khususnya dalam kalangan asnaf untuk membiayai kos pengajian serta sara hidup.

“UPM amat prihatin terhadap kebajikan pelajarnya termasuk pelajar asnaf di universiti ini,” katanya ketika sembah ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Masjid UPM, di sini semalam.

Pada masa sama, katanya, hampir RM12 juta dana zakat diagihkan kepada lebih 10,000 penerima dalam 13 jenis bentuk bantuan termasuk sara diri, tempat tinggal, kecemasan, keperluan pendidikan dan bantuan misibah kepada pelajar serta kakitangan UPM.

Dr Aini berkata, UPM turut memanfaatkan dana yang diperoleh melalui pelbagai bentuk agihan antaranya wakaf ambulans dan pemasangan kipas gergasi melalui Dana Wakaf Ilmu.

“Sejumlah RM987,000 dibelanjakan menerusi Dana Wakaf Ilmu bagi memasang permaidani baharu di seluruh dewan solat masjid ini.

“Permaidani lama masjid ini digunakan hampir 15 tahun, jadi kami manfaatkan dana ini untuk menambah baik,” katanya.

 


Pengarang :