NASIONAL

15 Orang Asli yang meninggal dunia disahkan beragama Islam

 

KOTA BHARU, 20 Jun : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengesahkan kesemua 15 orang asli suku kaum Batek di Kuala Koh yang meninggal dunia sejak awal Mei lepas adalah beragama Islam.

Ketua Pegawai Agama MAIK Murtadha Abdullah berkata, hasil penyiasatan dan perbincangan bersama Majlis Bencana Negara di Gua Musang kita dapati jenazah kini berada di peringkat akhir proses bedah siasat dan kesemua mereka adalah Islam.

“Kita juga telah mendapat persetujuan masyarakat di sana (Kuala Koh) dan mereka telah bersetuju kesemua jenazah dikebumikan mengikut cara Islam di Tanah Perkuburan Islam Orang Asli di Kuala Koh,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Jalinan Ukhwah Aidilfitri Bersama MAIK 2019 di sini hari ini di Dewan Besar Kompleks Islam Darul Naim, Lundang. Hadir sama Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

Murtadha berkata, proses pengurusan dan pengebumian jenazah akan diuruskan oleh Imam Masjid Bandar Gua Musang dengan dibantu oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan juga agensi-agensi lain termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

“Pengebumian akan dilakukan secepat mungkin, namun kita masih terikat dengan proses bedah siasat terakhir oleh pihak hospital,” katanya.

Katanya, pihak MAIK juga merancang untuk mengebumikan kesemua jenazah dalam satu liang lahad.

Sebelum ini, kebanyakan mayat Orang Asli yang dipercayai meninggal dunia akibat sejenis penyakit dikebumikan mengikut adat mereka, termasuk ada yang diletakkan di atas para pokok.

Sementara itu, Dr Nik Azlan berkata kesemua urusan dan kos pengebumian jenazah Orang Asli berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh MAIK. -BERNAMA


Pengarang :