BERITA UTAMASUKANKINI

Atlet luncur ais termuda Selangor harumkan nama negara

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 JUN: Usianya baru mencecah tujuh tahun, namun anak kecil itu sudah berjaya merangkul anugerah di peringkat antarabangsa dan mengharumkan nama Malaysia.

Atlet cilik, Sree Abiraame B. Chendren yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor itu turut diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai pemain luncur ais paling muda memenangi pertandingan, pada 2017.

Bapanya, B. Chendren Balakrishnan berkata, bakat anaknya itu mula dilihat seawal usia dua tahun ketika berkunjung ke Sweeden.

“Pada waktu itu, saya lihat Sree begitu menyukai musim sejuk dan disebabkan itulah saya bersama isteri, Shyamala Ramachandran membawa Sree ke Sunway Pyramid, iaitu tempat yang dia boleh bermain dengan ais.

“Akhirnya minat Sree membawa hasil apabila dalam tempoh sembilan bulan, dia berjaya menggondol 18 pingat emas, dua perak dan satu gangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Sree yang kini bersekolah di Sekolah Antarabangsa Kingsley memulakan musim 2019 dengan cemerlang selepas memenangi lima pingat emas pada Kejohanan Luncur Ais Antarabangsa Timur Tengah ke-4 di Bandar Sukan Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada Februari lalu.

Atlet muda itu membawa pulang empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Kejohanan Asia ISI di Bangkok, pada Ogos 2018 serta empat emas di Kejohanan Asia ISI di Shenzhen, Disember lalu.

Chendren berkata, anaknya itu kini mengimpikan untuk menggondol pingat emas pada Sukan Olimpik Musim Sejuk, pada 2026 akan datang.

Katanya, Sree yang juga anak tunggalnya tidak berdepan masalah pembelajaran, sebaliknya terus komited untuk berlatih setiap hari.

Namun, Chendren mengakui ia bukan tugas mudah ekoran kos latihan yang tinggi kerana Malaysia belum memiliki arena pusat luncur ais sendiri.

“Saya terpaksa menggunakan khidmat bimbingan jurulatih dari Hong Kong dengan bayaran mencecah RM280 sejam,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap bakat Sree sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri mahupun Persekutan bagi membolehkan usahanya membawa nama negara ke peringkat tertinggi terus tercapai.


Pengarang :