NASIONAL

Bot nelayan Indonesia ditahan di Pulau Jarak

LUMUT, 24 Jun : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan bersama seorang tekong dan enam awak-awak warga Indonesia, kira-kira 28 batu nautika, dari tenggara Pulau Jarak, di sini, pagi semalam.

Pengarahnya Kapten Wan Mat Wan Abdullah berkata pihaknya turut merampas 100 kilogram hasil ikan yang berada di dalam bot berkenaan.

Katanya bot berkenaan dikesan bot ronda Maritim Malaysia, ketika sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan Negeri Perak kira-kira pukul 8.40 pagi.

“Bot yang tiada nombor pendaftaran itu, ditahan bersama enam orang awak-awak dan seorang tekong ketika sedang menangkap ikan.

“Setelah diperiksa, tekong gagal mengemukakan dokumen berkaitan bot dan kesemua enam awak–awak tiada pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Mat berkata kesemua tekong dan awak-awak berumur 20 hingga 46 tahun itu, disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam perairan Malaysia. -BERNAMA

 

Foto Kredit : Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia


Pengarang :