SELANGOR

Chong Wei wira negara

 

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 JUN : Terima kasih Wira Negara, kata EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Ucapan itu ditujukan khas kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang kini sudah bersara daripada arena sukan berkenaan.

Mohd Khairuddin berkata, banyak jasa dan komitmen ditaburkan Chong Wei kepada Malaysia selama ini.

“Selangor mengucapkan ribuan terima kasih diatas usaha, jasa dan komitmen yang ditaburkan Datuk Lee Chong Wei sepanjang 19 tahun dalam sukan badminton demi mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa.

“Semoga lebih ramai rakyat yang akan muncul sebagai wira tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Chong Wei mengumumkan persaraannya pada usia 37 tahun dengan menegaskan beliau perlu mengutamakan kesihatannya.

Keputusan menggantung raket itu diumumkannya dalam sidang media khas di pejabat Kementerian Belia dan Sukan semalam.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, ia adalah keputusan paling sukar pernah dibuatnya, namun selepas berfikir panjang termasuk mendapatkan pandangan isterinya Datin Wong Mew Choo.

Menurut rekod, Chong Wei pernah menghimpun koleksi tiga pingat perak Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016) dan tiga kali muncul sebagai naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015), selain sering muncul sebagai satu-satunya pemenang terbanyak gelaran Super Series sebanyak 46 kali.


Pengarang :