Empat lelaki seleweng diesel bersubsidi didakwa di mahkamah semalam.
NASIONAL

Dua individu mengaku tidak bersalah kes penipuan pekerjaan

KUCHING, 27 Jun : Dua individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret 1 Kuching di sini hari ini berhubung pertuduhan terkini bagi kes penipuan pekerjaan berkaitan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja Disember lepas.

Margerat Muna Anyut, 25, dan Lam Sang Kiong, 35, dituduh bersama-sama di mahkamah di sini dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pertuduhan dibacakan Pegawai Pendakwa Inspektor Nelson Ensit di hadapan Majistret Mohd Syukri Mokhtar

“Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan.

“Mahkamah telah membebaskan Margerat dengan jaminan wang tunai RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan manakala Lam dibebaskan dengan jaminan wang tunai RM1,000 dengan seorang penjamin tempatan,” kata kenyataan dari Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah.

Beliau berkata ‘Pre Trial Case Management’ ditetapkan pada 31 Julai ini.

Sebelum ini, enam orang telah ditangkap dari 23 Feb hingga 25 April lepas melibatkan lapan kertas siasatan dibuka iaitu empat kertas siasatan di daerah Kuching, tiga di Padawan dan satu di Bintulu.

Menurut kenyataan itu, sehingga hari ini sebanyak empat orang telah dituduh bagi empat kertas siasatan yang berlainan iaitu tiga kertas siasatan di Padawan dan satu di Kuching.

“Satu lagi kertas siasatan daerah Kuching akan dikemukakan ke Mahkamah untuk menuduh dua orang di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan pada minggu hadapan.

“Tiga lagi kertas siasatan iaitu dua di Kuching dan satu di Bintulu masih dalam siasatan,” kata kenyataan itu lagi.

Pada 11 Dis lepas, 47 warga Malaysia, termasuk 40 berasal dari Sarawak, dan masing-masing tiga dari Sabah serta Selangor, selain seorang dari Kuala Lumpur ditahan pihak berkuasa Kemboja dalam serbuan di dua rumah berasingan di Poipet dalam Wilayah Banteay Mancheay, kira-kira 446 kilometer ke utara Phnom Penh.

Difahamkan, serbuan itu atas maklumat risikan mengenai aktiviti perjudian dalam talian di kedua-dua premis berkenaan sebelum semua individu ditempatkan di Penjara Wilayah Banteay Mancheay untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, hasil rundingan kerajaan kedua-dua negara membolehkan semua tahanan Malaysia dibebaskan dan mereka tiba di tanah air pada 17 Feb lepas. -BERNAMA


Pengarang :