NASIONAL

FiTA WAVE Short Film Awards 2019 terima sambutan hangat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 JUN: Julung kali dianjurkan, FiTA WAVE Short Film Awards 2019 menerima sambutan cukup menggalakkan dan bakal menjadi acara tahunan, kata Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Jabatan Pendidikan Tinggi itu berkata, beliau tidak menduga sambutan yang diterima amat meriah dan luar daripada jangkaannya.

Katanya, ia juga sebahagian daripada pembelajaran dan pengajaran bagi pelajar daripada Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Sokongan daripada industri seni tanah air amat menggalakkan dan kita optimis sambutan dan sokongan sama juga pada tahun depan.

“Anugerah malam ini (tadi) di luar jangkaan saya kerana masing-masing kelihatan profesional. Segelintir ada terdiri dalam kalangan pelajar sekolah namun hasil karya mereka menunjukkan betapa kreatif serta bijaknya anak muda kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas FiTA WAVE Short Film Awards 2019 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam.

Pada masa sama, Dr Siti Hamisah berkata, satu landasan harus disediakan kepada bakat anak muda itu supaya dapat mengetengahkan lagi hasil daripada karya inovatif mereka.

Bagaimanapun, Ahmad Idham turut memberitahu bahawa satu Program Inkubator bakal diperkenalkan untuk mencungkil bakat dan potensi pembikin filem muda terbabit.

Terdahulu, FiTA WAVE Short Film Awards 2019 adalah pertandingan filem pendek yang dianjurkan FiTA, UiTM Jabatan Pengajian Tinggi (Kementerian Pendidikan) dan Yayasan Hasanah.

Objektif anugerah itu adalah untuk menggalakkan bakat muda melalui percubaan idea baru dalam memelihara warisan budaya, meningkatkan semangat belia dan memupuk minat mereka dalam menyebarkan pengetahuan secara kreatif.

Selain itu, ia juga untuk mewujudkan kesedaran melalui filem pendek berkenaan kepentingan pendidikan tinggi di Malaysia dengan matlamat untuk meningkatkan pendaftaran pelajar di universiti negara ini.

Tema filem pendek yang dikemukakan untuk pertandingan itu harus menekankan kepentingan pendidikan tinggi dengan memberi tumpuan kepada lima bidang antaranya pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar dan seni, budaya dan warisan.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :