NASIONAL

Harga ikan RM10 sekilogram melalui Program QFish

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 25 JUN: Rakyat berpeluang membeli ikan serendah RM10 sekilogram selepas kerajaan bersetuju melaksanakan Program QFish ke seluruh negara, tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu diputuskan ketika Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), pagi tadi.

Katanya, Program QFish bertujuan menstabilkan harga ikan dan mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup pengguna.

“Melalui program ini, kita akan menggunakan teknologi pembekuan ikan secara ‘Individual Quick Freezing’ bagi menjamin kualiti dan kesegaran, kemudian ikan-ikan melalui teknik pembekuan ini akan dijual apabila bekalan kurang.

“Program ini dijangka mampu mengawal harga ikan antaranya kembung, selar, pelaling dan selayang, dan harga jualan adalah sekitar RM10 sekilogram,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Mesyuarat NACCOL bertempat di Bangunan Perdana Putra.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, hasil tinjauan menteri berkaitan mendapati ada diantara peniaga bertindak sesuka hati menjual harga ikan pada kadar tidak menentu.

“Saya dimaklumkan ketika tinjauan ada ikan kembung yang dijual pada harga berbeza iaitu RM11 dan RM22 untuk sekilogram.

“Oleh sebab itu Program QFish ini mampu membantu rakyat dan kita menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran kapasiti ikan daripada 561 tan metrik (MT) kepada 3,500MT setahun.

“Justeru, NACCOL bertesetuju untuk menerima cadangan penambahbaikan bagi mengembangkan Program QFish ke seluruh negara,” katanya.


Pengarang :