NASIONAL

Malaysia tidak akan diheret dalam konflik pihak lain

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Malaysia tidak akan diheret ke dalam konflik yang dimulakan pihak lain, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-33 di sini, beliau berkata pada masa ini kerjasama erat antara negara amat penting, lebih daripada masa-masa lain dalam sejarah kotemporari.

Katanya, ia kerana keadaan ketidakpastian geopolitik sekarang dan pertandingan mendesak terhadap penguasaan perdagangan yang mengancam keazaman negara untuk membangun melepasi tahap pemisahan serta penyesuaian semula.

“Walaupun kami mengalu-alukan kerjasama antarabangsa dalam memastikan keselamatan dan keamanan di rantau ini, kami tidak mahu diheret ke dalam usaha ketuanan kuasa besar dan kehadiran tentera mereka dalam zon keamanan, kebebasan dan berkecuali kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Malaysia Baharu dalam Perubahan Pemerintahan Serantau’.

Dr Mahathir berkata, kepentingan negara kecil boleh dipertahankan jika mereka bersatu sebagai satu kumpulan serantau dan kumpulan ASEAN di Asia Tenggara dikreditkan sebagai salah satu daripada organisasi serantau terbaik yang pernah ditubuhkan.

Katanya, rantau ini sudah lama menyaksikan permainan kuasa serantau dan global secara terus, namun berjaya mengatasinya menjadi lebih matang dan secara kolektifnya menjaga kemerdekaannya serta terus berkecuali.

Dr Mahathir berkata negara-negara perlu membetulkan semula keutamaan dan mengorientasikan semula minda mereka daripada senario peperangan “kalah-kalah” kepada prospek perniagaan “menang-menang”.

Bagaimanapun, ia memerlukan iltizam politik yang kuat kerana isu-isu berkaitan kebebasan navigasi dan keselamatan maritim adalah lebih baik ditangani dengan cara bekerjasama, dan bukan cara berkonfrontasi.

“Cabaran paling besar bagi kita semua sekarang adalah perang perdagangan Amerika-China. Keadaan yang menjadi semakin buruk, daripada pertengkaran perdagangan kepada perang perdagangan, adalah amat mengecewakan, yang mungkin akan menyebabkan berlakunya Perang Dingin yang berpanjangan,” katanya.

Jika itu berlaku, kata Dr Mahathir, ia akan memberi impak negatif kepada keseluruhan bahagian dunia yang lain, dan kedua-dua Amerika dan China tidak akan terlepas daripada kesan buruknya memandangkan tujuan peperangan adalah untuk memusnahkan satu sama lain.

“Saya berharap Amerika dan China segera bertindak secara waras untuk menukar konflik dengan kerjasama. Setiap orang akan meraih manfaat yang lebih besar jika kita bekerjasama antara satu sama lain, tetapi kita hendaklah juga menerima persaingan yang sihat,” katanya.

Bagi Malaysia, Dr Mahathir berkata, negara memberi keutaman kepada ancaman keselamatan dari luar yang menjadi bukti tersendiri bahawa ia menggalakkan kejiranan serantau yang aman, stabil dan berautonomi secara strategik.

Beliau menambah, wujud kesediaan untuk berunding bagi mencapai matlamat bersama iaitu keamaan, jadi, masih ada harapan.

Dalam hubungan ini, beliau percaya prospek sedemikian wujud di Rakhine State di Myanmar antara pihak kerajaan, kumpulan-kumpulan pencegah jenayah dan kekacauan, dan masyarakat Rohingya.

“Jika sesebuah negara dapat menangani cabarannya sendiri dengan berjaya tanpa mewujudkan masalah kepada orang lain, maka tidak perlu campur tangan pihak luar, sesuatu yang tidak disukai sesebuah negara berdaulat,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :