NASIONALRENCANA

Indahnya Hari Raya zaman dulu

OLEH AFIX REDZUAN

Kehadiran Aidilfitri pastinya dinantikan semua untuk diraikan bersama saudara mara dan sahabat handai bagi memperkukuh kembali ukhwah yang terjalin selama ini.

Dengan perkembangan teknologi semasa, pastinya ramai yang sedar bahawa suasana dan kemeriahan Aidilfitri sebenarnya kian pudar berbanding dahulu terutamanya dalam budaya masyarakat Melayu.

Jika diperhatikan secara teliti, Aidilfitri kini disambut kerana selesai menjalankan ibadah puasa selama sebulan semata-mata tanpa memaknainya dengan pelbagai perkara indah seperti dilalui ketika era 90an.

Disebalik tirai Adilfitri dahulu sebenarnya lebih dirasai sejak Ramadan lagi dengan aktiviti menarik terutamanya ketika melalui zaman kehidupan tanpa gajet.

Malam tujuh likur yang sinonim di penghujung Ramadan membangkitkan kemeriahan Aidilfitiri disebalik keazaman mengejar malam lailatul qadar dengan dihujani cahaya panjut atau pelita menerangi sekeliling rumah dan jalan.

Bau minyak tanah yang menjadi peneman nyalaan sumbu pelita sebenarnya membangkitkan semangat untuk menyambut hari raya disulami hiruk pikuk meriam buluh menggamatkan keheningan desa.

Tanpa memikirkan rasa takut, kelam malam menjadi saksi kanak-kanak berlari berkejaran seolah-olah tiada hari esok selain diserikan dengan percikan bunga api yang ada kalanya menembusi pakaian.

Meriam buluh yang dimodenkan dengan penggunaan paip besi menjadi antara lipatan sejarah dan kenangan terindah setiap kali Ramadan dan Aidilfitri menjelma.

‘Perang’ bunyi yang pastinya mengejutkan jemaah terawih di surau dan masjid antara dirindukan walaupun terpaksa menghadapi kemarahan orang dewasa.

Tidak cukup dengan itu, jarang sekali kita dengar ada yang tercedera ketika bermain mercun sehingga putus jari dan tangan di dada media massa berbanding kini.

Tiada istilah lepak depan televisyen ketika Aidilfitri dahulu walaupun disajikan dengan telefilem menarik kerana bersemangat untuk mengumpul duit raya.

Walaupun hanya mendapat duit syiling seringgit berwarna emas, ia satu keseronokkan yang tidak mampu digambarkan tanpa mengeluh penat dengan hanya berjalan kaki atau berbasikal beramai-ramai.

Hidangan yang disajikan kini juga masih sama seperti rendang, lemang dan ketupat tetapi ia disulami ‘kuih tunjuk’ ekoran kesibukan hidup selain beranggapan lebih mudah membayar daripada bersusah payah di dapur.

Dahulu, kaum ibu yang sentiasa menantikan kepulangan anak tersayang akan beroperasi di dapur setiap kali menjelang Aidilfitri bagi menyiapkan kuih raya kesukaan masing-masing.

Kad raya digantung menghiasi jendela juga sudah tidak kelihatan seperti dahulu dan kini digantikan dengan bungkusan kelengkapan lebaran yang dihantar abang posmen sebagai ganti.

Mesej raya yang dihantar menerusi telefon bimbit juga berbeza dengan iringan lagu raya pilihan kerana terpaksa menyelak helaian akhbar untuk menyalin kod lagu sebelum dihantar kepada tersayang.

Kehadiran saudara mara yang jauh pastinya dinantikan untuk berkumpul walaupun terpaksa tidur bergelimpangan di rumah yang kecil tetapi masih mampu lena bermimpi.

Kemeriahan raya paling dirasakan jika masih datuk dan nenek masih hidup, kasih sayang dan kemanjaan akan diagihkan seadil mungkin buat semua cucu tidak kira peringkat umur.

Hiruk pikuk rumah mengalahkan pasar borong, tetapi itulah antara perkara dirindukan setiap kali Aidilfitri terutama bagi keluarga besar setiap kali pulang ke desa.

Banyak perkara yang tidak mampu diulangi Aidilfitri kini, tetapi kenangan indah itu sentiasa tersemat di sanubari ini.

Indahnya hari raya seperti dahulu…


Pengarang :