Selangor akan memasang 1,553 struktur rangkaian 5G bagi fasa dua di lima daerah pada tahun ini bagi memberi perkhidmatan kelajuan jalur lebar 10 gigabit per saat (gbs). Foto ARKIB SELANGORKINI
GLOBAL

India lelong frekuensi 5G

NEW DELHI, 4 JUN: Menteri Telekom India, Ravi Shankar Prasad berkata, Jabatan Telekomunikasi (DoT) akan melelong hak gelombang mudah alih generasi kelima atau 5G dan gelombang lain serta memulakan tempoh ujian dalam masa 100 hari lagi.

Agensi berita Xinhua melaporkan keputusan untuk melelong hak gelombang radio itu dianggap agak penting kerana keuntungan daripada jualan menjadi sumber utama pendapatan untuk perbendaharaan.

Tiada lelongan pada tahun kewangan 2017-18 dan 2018-19. Pada 2016-17 kerajaan mengaut kira-kira US$9.4 bilion, iaitu pecahan daripada 5.63 trilion Rupee (kira-kira US$80 bilion) daripada jumlah hasil jualan.

Pihak Berkuasa Telekom India (TRAI) pada Ogos lalu mencadangkan kepada DoT supaya melelong blok frakuensi radio 20MHz dalam spektrum gelombang radio 3300-3600MHz – gelombang yang diperuntukkan untuk 5G, dengan harga 492 crore rupee bagi setiap MHz.

Berhubung isu keselamatan data, kerajaan negara itu sudah membentuk sebuah jawatankuasa dianggotai pegawai kanan Biro Risikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Sayap Keselamatan Siber selain pegawai Kementerian Teknologi Penerangan dan Telekom.

Sementara itu, gergasi telekomunikasi China, Huawei memberi jaminan penuh untuk mematuhi peraturan keselamatan data India.

Ahbar India, The Times of India memetik Ketua Pegawai Operasi Huawei India, Jay Chen sebagai berkata: “Semua data yang diuruskan Huawei India disimpan pusat penstoran di negara itu. Syarikat itu sentiasa akur dan patuh terhadap semua peraturan dan undang-undang.”

— BERNAMA


Pengarang :