Selangorkini
NASIONAL

Kenaikan harga simen di Sarawak perlu disiasat

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Penyiasatan diperlukan bagi menentukan sama ada kenaikan ketara harga simen di Sarawak berbanding di Semenanjung Malaysia adalah akibat amalan monopoli oleh pemain industri di negeri itu.

Simen, menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah bahan binaan asas dan sebarang kenaikan harga simen yang ketara akan disalurkan semula secara negatif ke dalam ekonomi dan kemudiannya akan menjejaskan kuasa membeli pengguna.

Bagi di Semenanjung, beliau berkata, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah membuktikan komitmen kerajaan untuk mengawal kos sara hidup rakyat Malaysia pada tahap yang berpatutan.

“Ini dilakukan dengan mengekang kenaikan harga simen setelah kerajaan berbincang dengan syarikat industri simen,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ini sekali gus menjawab kebimbangan awam akan ura-ura kenaikan harga simen setinggi 40 peratus di Semenanjung Malaysia seperti dilaporkan media pada minggu lalu, yang telah meredakan kerisauan awam bahawa pengeluar utama simen tempatan telah menyalahgunakan kuasa pasaran mereka untuk menaikkan harga simen secara tidak adil.

Kadar inflasi bagi pengguna kekal rendah dan stabil, kata Lim dan menurutnya indeks harga pengguna untuk bulan April 2019 hanya meningkat 0.2 peratus iaitu pada kadar sama bagi bulan Mac 2019.

– BERNAMA


Pengarang :