NASIONAL

Keracunan metanol : Tiga individu direman empat hari

PORT DICKSON, 21 Jun : Dua beranak dan seorang peniaga wanita yang ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes keracunan metanol di sini, direman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohammed berkata Mahkamah Majistret Port Dickson membenarkan permohonan reman itu sehingga 24 Jun ke atas ketiga-tiga individu berkenaan.

Menurut Aidi Sham siasatan terhadap ibu dan anak lelaki serta seorang wanita yang merupakan peniaga kedai runcit dilakukan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Semalam, seorang wanita tempatan meninggal dunia pada 8.36 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Port Dickson (PHD), akibat keracunan metanol, sekali gus menjadikan mangsa K. Rathika, 26, dari Serting, Jempol sebagai mangsa kedua selepas seorang lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun yang maut, Isnin lepas.

Selain itu, dua daripada tiga mangsa lain yang turut keracunan metanol masih menerima rawatan di hospital yang sama dengan seorang daripadanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala seorang lagi stabil.

Seorang lagi mangsa yang turut mendapat rawatan di HPD petang semalam sebelum memohon dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut, dilaporkan dalam keadaan stabil.

Setakat ini, kes keracunan metanol dilaporkan membabitkan seramai lima mangsa. -BERNAMA


Pengarang :