Selangorkini
NASIONAL

KPDNHEP kesan 333 pelbagai kesalahan sepanjang laksana SHMMP

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 333 kes melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula sejak 21 Mei lalu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kes itu berjaya dikesan hasil pemeriksaan terhadap lebih 56,000 premis di seluruh negara sempena perayaan Aidilifitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang berlangsung pada bulan Mei dan Jun ini.

Katanya, dalam tempoh itu sebanyak RM41,850 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk lebih 300 kesalahan membabitkan peniaga tidak menggunakan tanda harga khas merah jambu atau tiada tanda harga.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 12 kes peniaga menaikkan harga sehinga melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

“Berdasarkan bilangan kes yang kecil, rakyat telah menikmati keberkesanan skim harga maksimum ini,” katanya​​​​​​​ kepada Bernama selepas menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara kendalian Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama di sini, malam tadi.

Saifuddin juga berkata langkah kerajaan memanjangkan tempoh pelaksanaan SHMMP daripada 15 hari kepada 30 hari sehingga Rabu ini juga =berjaya mengurangkan jumlah kesalahan yang dilakukan oleh peniaga terutama selepas musim perayaan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kenaikan harga cili merah pada musim perayaan berikutan bekalan yang terhad menyebabkan peniaga terpaksa mengimport cili dari luar negara.

-BERNAMA


Pengarang :