BERITA UTAMASELANGOR

Kurang fokus gajet, Aidilfitri penuh makna

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 JUN: Aidilfitri pasti penuh bermakna sekiranya seseorang itu menghabiskan masa bersama keluarga tercinta dan tidak hanya memberi tumpuan kepada gajet semata-mata.

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria berkata, terdapat beberapa adab yang perlu dititikberatkan seseorang itu terutama ketika menziarahi rumah saudara mara mahupun sebaliknya.

Katanya, kebanyakan orang masa kini terutama generasi muda lebih gemar menghabiskan masa mereka bermain gajet berbanding meluangkan masa berborak bersama keluarga dan saudara mara.

“Kita memang perlu seiring dengan teknologi namun hubungan langsung sesama manusia secara fizikal juga penting sebagai contoh jika kita dipisahkan jarak atas sebab tidak dapat dielakkan seperti bertugas, belajar, berhijrah ke luar negara, hubungan melalui telefon sudah memadai.

“Namun, jika kita hanya menetap dalam negara mempunyai masa untuk berkunjung ke rumah saudara mara terdekat, saya fikir ia sudah memadai untuk kita menghabiskan masa dengan interaksi secara langsung.

“Kurangkan berswafoto atau penggunaan gajet ketika tetamu berada di hadapan kita atau ketika beraya di rumah orang, ini tidak orang zaman sekarang semuanya mahu dikemaskini di media sosial termasuk mengambil gambar makanan. Perkara itu tidaklah salah namun biarlah berpada,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Dr Ros Mahwati berkata, Aidilfitri sepatutnya membawa maksud kemenangan, diperkemaskan dengan meneruskan kejayaan melawan nafsu dan memperbanyakkan kebaikan selain bermaaf-maafan sesama manusia sekeliling tanpa mengira ikatan persaudaraan mahupun kaum dan agama.

Katanya, ibu bapa perlu mengambil kesempatan dalam mendidik anak mereka untuk menerapkan objektif sebenar perayaan dan ziarah menziarahi itu kerana jika ia tidak diterapkan keadaan mungkin boleh jadi bertambah parah.

Selain itu, mengulas berkenaan pemberian duit raya, katanya, amalan itu menjadi amalan masyarakat Melayu, konsep dalam Islam adalah bersedekah.

“Sedekah adalah satu daripada amalan mulia yang digalakkan dalam Islam setiap masa dan bukan pada hari perayaan sahaja. Oleh itu, pemberian duit raya adalah wajar bagi yang berkemampuan.

“Namun, hari ini pemberian duit raya ini bertukar seakan “beban” sebagaimana ia dilihat sebagai lambang status ekonomi dan juga hasil ajaran negatif kepada anak-anak untuk menagih duit raya di setiap rumah dan sesiapa sahaja yang mereka jumpa,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa untuk mengajar anak mereka supaya menjaga akhlak ketika berada di rumah orang selain menerapkan nilai-nilai murni.

“Semoga Aidilfitri kali ini, kita semua mendapat lebih keberkatan dan kebaikan berbanding sebelum ini. Berhati-hati walau dimana kalian berkunjung dan jangan lupa untuk menjaga adab sopan di hari raya,” katanya.


Pengarang :