SELANGOR

Paip pecah: 10 kawasan di Gombak alami gangguan bekalan air sementara

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 6 JUN: Kira-kira 10 kawasan di daerah ini berdepan gangguan bekalan air sementara susulan insiden paip pecah di Taman Prima Gombak Off Taman Sri Gombak, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, setakat ini kerja pembaikan dan pemulihan di lokasi paip pecah terbabit sedang giat dijalankan.

Bagaimanapun, Abdul Raof berkata, pihaknya menyasarkan kerja pembaikan dapat disiapkan sebelum 6.30 petang ini.

“Gangguan bekalan air sementara melibatkan beberapa kawasan antaranya perusahaan ringan, Prima Sri Gombak, Pusat Niaga Batu Caves, Kampung Sri Gombak Indah, Taman Sahabat, Taman Berlian, Jalan Dewan Simpang 3, Jalan Kunci Air, Desa Minang dan Taman Bolton.

“Kerja pembaikan sedang giat dijalankan dengan peratusan kerja pembaikan di tahap 70 peratus dan kami sedang berusaha mempercepatkan kerja pembaikan,” katanya ketika dihubungi.

Pelangan terjejas sudah dimaklumkan melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) dan Air Selangor sentiasa mengemaskini status dari semasa ke semasa di aplikasi telefon bimbit.

 


Pengarang :