NASIONAL

Laporan polis oleh SU sudah memadai – Azmin

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 JUN : Laporan polis dibuat Setiausaha Politik Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berhubung video tular pagi tadi sudah memadai, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, baginya laporan itu sudah cukup untuk pihak berkuasa menyiasat penularan video lucah mengaitkan dirinya itu.

Katanya, walaupun bukan dirinya membuat laporan terbabit namun ia dilaporkan berdasarkan pandangan daripada peguam dan dilihat cukup untuk polis menjalankan siasatan.

“Laporan polis sudah dibuat dan saya kira pandangan yang diberikan peguam juga membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Jalinan Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian dan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan Setiausaha Politik Mohamed Azmin, Hilman Idham.

Sementara itu, mengulas sama ada beliau menyesyaki dalang disebalik penularan video terbabit, Mohamed Azmin berkata, pihaknya enggan membuat sebarang pertuduhan melulu.

“Saya tidak mahu membuat sebarang pertuduhan melulu dan biarkan sahaja pihak berkuasa menyiasat,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam sebuah video lucah yang tersebar sejak kelmarin dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden KEADILAN itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya.

Mohamed Azmin berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

 


Pengarang :