SELANGOR

LZS biaya kos bedah jantung bayi lapan bulan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 JUN: Prihatin derita seorang bayi lelaki berusia lapan bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang, Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil menyalurkan bantuan berjumlah RM20,000 bagi membiayai kos pembedahan.

LZS menerusi hantaran di Facebook berkata, bantuan kepada Muhammad Alif Luthfi Noraznan itu diluluskan pada 24 Mei lalu.

Katanya, bayi berkenaan memerlukan bantuan bagi kos pembedahan sebanyak RM30,000 di Institut Jantung Negara (IJN).

“Selain itu, bagi kes sebegini, sebarang kos pembedahan membabitkan jumlah yang tinggi masyarakat juga boleh merujuk kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan di setiap hospital kerajaan.

“Bagi kes berkaitan jantung pula boleh merujuk kepada Yayasan IJN. Manalaka bagi kes kanser, masyarakat juga boleh merujuk kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dengan syor daripada doktor pakar yang merawat,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada bayi berkenaan, Liza Martini melahirkan rasa terima kasih kepada semua insan berhati mulia yang menyumbang untuk operasi anaknya itu.

“Dengan berkat doa kalian, kami berjaya mengumpulkan dana untuk operasi anak kami seadanya. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa kalian.

“Doakan Muhammad Alif Luthfi selamat menjalani operasi dan kembali sihat,” katanya menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook.

Sebelum ini, kisah adik Alif yang menderita penyakit jantung berlubang sejak usianya 26 hari tular di media sosial dan memerlukan dana orang ramai untuk menjalani pembedahan itu pada 11 Julai ini.

Doktor mengesyorkan pembedahan segera dilakukan ke atas Alif susulan dua kali paru-parunya dijangkiti kuman.

Difahamkan, bayi berkenaan dikesan menghidap penyakit itu sewaktu menerima rawatan di Hospital Segamat selama 18 hari selepas selesema dan batuk serta tidak mahu menyusu.

 


Pengarang :