SELANGOR

Manfaatkan Smart Selangor Parking

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAJANG, 29 JUN : EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna menggalakkan penduduk di negeri ini memanfaatkan sepenuhnya penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP).

Hee Loy Sian berkata, aplikasi yang boleh dimuatnaik melalui telefon bimbit itu akan mengurangkan kesukaran pemandu kenderaan untuk membeli kupon parkir bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berlainan.

“Melalui SSP kita tidak perlu susah payah mencari kupon tiket lagi, hanya melalui aplikasi di telefon bimbit segalanya lebih mudah kerana kita mahu rakyat lebih senang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah 360 Smart Selangor bertempat di Stadium Kajang, hari ini.

Hadir sama Naib Canselor Universiti Selangor, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

SSP yang digerakkan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) melalui SSDU Inovations Sdn Bhd melaksanakan sistem Smart Selangor Parking (SSP) mulai 1 Julai 2018.

Melalui SSP, pembayaran caj dan kompaun tempat letak kereta boleh dilakukan menerusi tiga kaedah iaitu menerusi pembayaran elektronik menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi SSP yang boleh dimuat turun daripada Apple AppStore atau Google Playstore.

Bagi pengguna yang tidak mempunyai telefon pintar, boleh membuat pembayaran parkir menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menghantar SMS ke +061110323278 dengan format <PBT No. Plat Kenderaan Jam>.

Sehingga kini antara PBT yang telah melaksanakan sistem SSP ialah Mahlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).


Pengarang :