NASIONAL

Persatuan bekas polis sokong cadangan kaji semula gaji anggota

JERTIH, 11 JUN: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) menyokong penuh cadangan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang meminta kerajaan mengkaji semula gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah.

Presiden PBPM, Hussin Awang Ngah berkata cadangan itu bukan sahaja demi masa depan mereka tetapi salah satu usaha terbaik bagi menangani isu rasuah yang berlaku dalam pasukan polis.

“Sememangnya kita sedia maklum tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbuka luas untuk terlibat dengan gejala rasuah sekiranya ia tidak diberi perhatian yang serius.

“Selain dibebani dengan kerja, ada antara kalangan anggota terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk membeli barang keperluan pejabat contohnya kertas A4 dan perkara ini pernah dimaklumkan kepada saya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurut Hussin, masalah gaji anggota yang berpangkat rendah wajar dikaji kembali bagi membantu ekonomi sara hidup, sejajar dengan kekangan ekonomi masa kini.

“Contohnya mereka ini tidak layak untuk mendapatkan pinjaman rumah mampu milik yang kini berharga RM200,000 hingga RM350,000, namun dengan kenaikan gaji mungkin membolehkan mereka membuat pinjaman dan sebagainya,” katanya.

Beliau yakin cadangan yang dikemukakan oleh Ketua Polis Negara mampu mengubah imej PDRM sejajar dengan kepentingan tugas mereka kepada masyarakat dan negara.

Sebelum ini, Abdul Hamid dalam satu wawancara khas bersama Bernama berkata gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti serta mengurangkan risiko rasuah dalam kalangan pasukan PDRM.

-BERNAMA


Pengarang :