NASIONAL

Ringgit tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini sejajar mata wang serantaunya didorong sentimen positif.

Ia susulan pertemuan antara Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping yang akan datang apabila mereka dijangka berbincang berhubung pertikaian perdagangan antara kedua-dua negara.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1730/1760 berbanding dolar US daripada 4.1800/1830 semasa ditutup pada Selasa.

Peniaga berkata pertemuan yang akan diadakan pada 28 dan 29 Jun di Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun diharap mempunyai penyelesaian kepada perang perdagangan yang meningkat melibatkan dua kuasa besar ekonomi itu.

“Kami berharap gencatan dicapai dan ketegangan akan berkurangan,” katanya.

Positif dalam kalangan pelabur turut mendorong kepada peningkatan harga minyak.

Sehingga 9 pagi, penanda aras minyak mentah Brent sebanyak US$62.49 setong berbanding US$60.46 setong semalam.

Selain perang perdagangan, laporan mengenai kemungkinan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS dan Bank Pusat Eropah telah meningkatkan sentimen pelabur terhadap pasaran sedang pesat membangun.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut kepada 5.2421/2476 daripada 5.2355/2409 pada Selasa, dan naik berbanding euro kepada 4.6729/6780 daripada 4.6745/6795.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0518/0551 daripada 3.0471/0497 dan meningkat berbanding yen kepada 3.8436/8474 daripada 3.8596/8635 semalam.

-BERNAMA


Pengarang :