BERITA UTAMARENCANASELANGOR

Selangor kukuh bawah kepimpinan Amirudin

OLEH NAZLI IBRAHIM

Selangor adalah negeri yang sentiasa mencuri tumpuan bukan sahaja rakyat setempat, malahan menjengah ke pelabur antarabangsa. Sejak dikuasai PAKATAN sejak 2008, pentadbiran utama negeri sudah dipimpin tiga Dato’ Menteri Besar termasuk Amirudin Shari yang dilantik pada 19 Jun 2018.

Beliau menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang diberi amanah memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Sempena setahun pentadbirannya, ikuti temubual eksklusif SelangorKini dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Beliau menyifatkan “Selangor will be in safe hands” di bawah kepimpinan Amirudin.

SelangorKini: Apa pandangan Dato’ berkenaan program kebajikan Kerajaan Negeri sepanjang setahun di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru ini?

Mohd Amin: Seperti yang diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sela-ngor Tahun 2019 yang lalu, program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sedia ada akan dijajarkan dan ditambah baik.

Antara program IPR yang dijajarkan semula adalah Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Peduli Sihat dan pemberian air percuma kepada golongan B40.

Hal ini bagi mengoptimumkan sumber kewangan sediaada selain kita juga perlu memastikan golongan sasaran untuk penerima IPR ini adalah yang benar-benar memerlukan sahaja serta tidak menerima bantuan daripada jabatan atau agensi lain yang menawarkan bantuan kepada golongan miskin seperti Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Apakah pendekatan dan dasar yang ditekankan oleh Dato’ Menteri Besar yang Dato’ lihat dan apakah kesannya?

Saya ingin meminjam kata-kata hikmat pendeta China, Lao Tzu yang berbunyi “Give a man a fish and you can feed him for one day. Teach him how to fish and you can feed him for a lifetime”.

Aspirasi Kerajaan Negeri adalah untuk memberdayakan rakyat supaya mereka boleh “self-sufficient” dan “sustainable” dengan tidak bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Hal ini dapat dilihat dengan program Hijrah Selangor yang menyalurkan bantuan pinjaman kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sehingga berjaya memberdayakan pembangunan ekonomi rakyat dengan kadar bayaran balik pinjaman sebanyak 80 peratus.

Selain itu, keprihatinan Dato’ Menteri Besar berkenaan masalah perumahan rakyat di negeri ini berjaya menarik minat pemaju perumahan untuk melaksanakan “joint venture” dengan Pemerbedanan Menteri Besar (MBI) untuk membina Rumah Idaman Rakyat Selangor yang bukan sahaja mampu milik tetapi dengan prasarana yang cukup lengkap.

Dasar kerajaan negeri dan aspirasi Dato’ Menteri Besar ini dapat diterjemahkan de-ngan kejayaan Selangor mencatatkan rekod pelaburan yang terbesar dalam sejarah pada tahun 2018 iaitu sebanyak RM18.947 bilion berbanding RM5.592 bilion pada tahun 2017.

Apakah yang Dato’ jangkakan berkenaan kemajuan Selangor di bawah teraju Dato’ Menteri Besar dalam tempoh lima tahun?

Setiap pemimpin pasti mempunyai gaya kepemimpinan dan aspirasi yang berbeza. Namun, saya percaya Dato’ Menteri Besar sekarang pasti akan meneruskan kesinambungan kemajuan pembangunan Selangor yang sudah dirintis oleh menteri-menteri besar sebelum ini.

Hal ini dapat dilihat dengan pengumuman strategi baharu yang boleh diterokai bagi merancakkan ekonomi negeri yang dinamakan Klusterisasi Negeri Selangor.

Objektif utama pelaksanaan klusterisasi ini adalah untuk memantapkan kekuatan di suatu kawasan tumpuan dengan memfokuskan kelebihan sedia ada melalui penyeragaman persamaan bagi melengkapkan aksesibiliti dan prasarana fizikal yang berkaitan.

Terdapat 10 kluster yang disenarai pendek dalam strategi pembangunan gugusan di Selangor ini.

Di antaranya adalah Kluster Aeropolis dan Aeroangkasa, Kluster Industri Automotif dan Industri Sokongan serta Kluster Pertanian dan Industri Asas Tani.

Selain itu, Kerajaan Negeri sudah bersedia untuk menghadapi gelombang Revolusi Industri 4.0 yang menekankan pembangunan aras tinggi dan pintar.

Ini dapat dilihat dengan rancangan pelaksanaan Selangor Wide Area Network (SWAN) iaitu Jaringan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Gigabit untuk menghubungkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan semua agensi, jabatan dan pejabat seperti Pejabat Tanah dan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan semua anak syarikat Kerajaan Negeri.

Dalam menuju ke arah sebuah negeri pintar atau Smart State pada tahun 2025 nanti, selain menumpukan kepada pembangunan fizikal, Dato’ Menteri Besar juga sangat mengambil berat berkenaan pembangunan modal insan dan kelestarian alam sekitar.

Pelbagai inisiatif dan program jangka pendek dan jangka panjang sudah dirangka bagi memastikan kemajuan di Selangor ini adalah tuntas selain sentiasa bergerak seiringan.

Secara peribadi, saya percaya Dato’ Menteri Besar sekarang mempunyai gagasan yang mampu membawa Selangor untuk terus kekal sebagai negeri peneraju atau ‘benchmark’ di negara ini.

Apa pandangan Dato’ terhadap idea-idea yang dibawakan Dato’ Menteri Besar dalam pentadbiran Kerajaan Negeri?

Jujurnya, pada saya idea yang diketengahkan beliau sentiasa segar, ‘vibrant’ dan beliau juga mempunyai nilai empati yang tinggi selain sentiasa mendengar pandangan atau idea lain daripada semua pihak terutama penjawat awam di Selangor ini.

Saya percaya di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar sekarang, “Selangor will be in safe hands.”


Pengarang :