Selangorkini
NASIONAL

Sifat tamak punca rasuah

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Usaha memerangi rasuah dalam sektor awam tidak seharusnya difokuskan kepada soal kenaikan gaji semata-mata, sebaliknya penekanan perlu diberikan kepada usaha mewujudkan sebuah pentadbiran lebih beretika dan berintegriti.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kenaikan gaji dan elaun tidak mampu membanteras rasuah dalam kalangan kakitangan awam jika sifat tamak dan sentiasa mahukan kemewahan melebihi kemampuan menguasai diri sendiri.

“Walaupun langkah menaikkan gaji mungkin mampu mengurangkan kecenderungan untuk mengambil rasuah, pelbagai kes besar melibatkan pegawai berpendapatan tinggi membuktikan sifat tamak boleh menjadi punca rasuah yang akan menjejaskan integriti para penjawat awam.

“Kes rasuah melibatkan kakitangan bawahan seperti menerima ‘duit kopi’ lebih memberikan kesan kepada orang awam kerana ia melibatkan mereka secara langsung berbanding kes berprofil tinggi yang melibatkan jutaan Ringgit Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya semua pihak harus membantu usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencapai sifar rasuah penjawat awam bukan sahaja perlu memaparkan perkhidmatan awam yang cekap dan beretika, tetapi juga memupuk budaya yang menekankan integriti dalam pengurusan harian.

Katanya, pegawai yang terbabit dalam aktiviti rasuah ini kebanyakannya terdiri daripada bidang penguatkuasaan undang-undang, sehubungan itu beliau menyarankan semua agensi terbabit perlu mempunyai satu sistem kawalan dalaman yang boleh mengesan penyelewengan.

Lee selain itu turut mencadangkan satu kurikulum diwujudkan di sekolah untuk mendidik pelajar tentang keburukan rasuah.

“Usaha memerangi rasuah harus bermula di sekolah melalui penekanan kepada pengajaran dan amalan nilai-nilai murni kalangan generasi muda kita terutamanya tentang keperluan untuk membangunkan satu budaya integriti serta menjadikannya sebagai satu cara hidup mereka di masa depan.

“Golongan muda harus dididik dengan nilai-nilai moral, etika dan integriti semasa mereka di bangku sekolah bagi memudahkan pembanterasan rasuah kelak,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :