Selangorkini
SEREMBAN, 15 Jun -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjawab pertanyaan wartawan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) hari ini. Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (dua, kanan) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kanan). --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Malaysia alu-alukan persetujuan TMC-AFCF sambung rundingan

SEREMBAN, 15 JUN: Kerajaan Malaysia mengalu-alukan persetujuan yang dicapai baru-baru ini antara Majlis Tentera Peralihan (TMC) dan Alliance of Freedom and Changes Forces (AFCF) untuk menyambung semula rundingan mengenai pembentukan majlis kedaulatan bersama yang akan menerajui peralihan politik di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Malaysia juga menggesa semua pihak di Sudan supaya bertenang dan mengelakkan daripada keganasan berterusan terhadap orang awam dan menghormati hak asasi manusia.

“Kami mengalu-alukan kedua-dua pihak yang mengadakan rundingan dan kami berharap mereka juga akan dapat penyelesaian.

“Kami mengutuk serangan terhadap orang awam yang tidak bersalah dan menyeru agar insiden itu disiasat dengan teliti, dan mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan dengan segera,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan anjuran kerajaan negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian terkini di Sudan yang menyaksikan puluhan orang terbunuh dan cedera.

Wan Azizah berkata Malaysia juga mengecam keras keganasan dan serangan terhadap penunjuk perasaan itu.

“Kami bersama-sama pihak lain menggesa supaya siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden itu sementara pelakunya harus bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa syukur kerana kesemua 48 rakyat Malaysia di Sudan berada dalam keadaan selamat.

Ditanya sama ada kerajaan akan membawa pulang kesemua rakyat Malaysia yang berdaftar termasuk 26 pelajar di negara itu ekoran perkembangan politik dan keselamatan terkini di negara itu, beliau berkata: “Setakat ini rakyat kita selamat…mungkin lebih baik duduk di tempat itu (kerana ia) tidak merebak di kawasan mereka sebagai pelajar”.

Media melaporkan bahawa kerajaan Sudan semalam mengaku ia telah memberi arahan bagi menumpaskan penunjuk perasaan daripada pihak pembangkang yang menyebabkan puluhan orang terbunuh dan cedera.

Pada awal Jun, pasukan keselamatan secara keras telah menyuraikan protes di luar bangunan Kementerian Pertahanan. TMC sebelum ini menafikan bahawa ia mempunyai peranan dalam operasi itu.

-BERNAMA


Pengarang :

Related posts

Mahkamah isytihar Akta Perhimpunan bertentangan perlembagaan, kemenangan rakyat

Pembatalan subsidi rawatan, menteri perlu beri penjelasan

Mohd Ezli Mashut

Menunggu Mimpi Najib Dan Tilikan Rosmah

Cecelia Alphonsus