GLOBAL

Thailand jamin kelancaran sidang kemuncak ASEAN

BANGKOK, 21 JUN: Thailand, selaku Pengerusi ASEAN memberi jaminan sidang kemuncak tahunan yang mengumpulkan 10 pemimpin negara anggota kumpulan serantau itu akan berjalan dengan lancar.

Ketua Polis Diraja Thai, Jen Pol Chakthip Chaijinda berkata agensi keselamatan dan berkaitan sudah melakukan persediaan dan mengambil langkah diperlukan sepanjang sidang kemuncak empat hari itu.

“Semua agensi berkaitan yang terlibat sudah bersedia. Kami yakin mesyuarat akan berjalan lancar. Kami 100 peratus bersedia untuk menjaga keselamatan pemimpin-pemimpin, “ katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan satu mesyuarat keselamatan bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2019 ke-34, di sini semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan o-cha mengarahkan kesemua agensi berkaitan bagi memastikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 itu berlangsung dengan lancar, dalam semua segi.

Sidang kemuncak yang bertemakan “Advancing Partnership for Sustainability” akan berlangsung di The Athenée Hotel, di Wireless Road, di sini.

Kira-kira 10,000 pegawai polis dan keselamatan akan diatur kedudukan di sekitar tempat mesyuarat dan lokasi strategik di sekitar ibu negara.

Sedekad lalu, Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung di Pattaya tetapi ia terpaksa dibatalkan selepas penunjuk perasaan baju merah yang antikerajaan menyerbu pusat persidangan.

Ketua Pengarah Hubungan ASEAN Thailand Suriya Chindawongse mengesahkan semua 10 pemimpin negara anggota ASEAN akan menghadiri sidang kemuncak itu.

Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha akan mempengerusikan sidang kemuncak itu biarpun belum mengumumkan barisan kabinet baharu, hampir tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum.

Media melaporkan krisis pelarian Rohingya antara isu panas yang dijangka dibincangkan semasa sidang kemuncak itu.

-BERNAMA


Pengarang :