NASIONAL

Tidak wajar persoal kelayakan Latheefa – Dr Daroyah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 JUN: Kelayakan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu tidak perlu dipersoalkan, kata Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Malaysia.

Dr Daroyah Alwi berkata, perjuangan Latheefa selama 20 tahun dan beristiqamah hingga kini untuk mereformasikan undang-undang negara serta mencegah rasuah sememangnya menjadi ‘trademark’ beliau.

“Sebagai seorang tokoh wanita yang berani, berintegriti tinggi, Latheefa Koya tidak pernah mengkompromi perjuangannya berlandasan kebenaran, integriti dan reformasi.

“Sebenarnya, sangat susah untuk mencari tokoh sebegini yang memahami dan menghayati erti reformasi yang kita sama-sama perjuangkan selama 20 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembantahan individu-individu atas pelantikan berkenaan sepatutnya menilaikan sumbangan Latheefa kepada rakyat selama ini, sebaliknya bukan mencari dan memburukkan nama baik mantan Pengerusi Lawyers for Liberty semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.

“Latheefa Koya mempunyai sokongan padu daripada masyarakat sivil dan juga daripada rakyat kecuali segenlintir orang-orang yang takut bayang-bayang sendiri dan lantas mempersoalkan kelayakkannya.

“Tahniah saya ucapkan kepada Latheefa Koya di atas pelantikannya,” katanya.

Terdahulu, Latheefa dilantik sebagai orang nombor satu SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu menggantikan Mohd Shukri yang memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau lebih awal.

Kontrak Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.


Pengarang :