Selangorkini
NASIONAL

Tiga lagi kes sesak nafas di Kampung Kuala Koh

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Tiga kes baharu membabitkan gejala saluran pernafasan dilaporkan berlaku dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dua daripada mangsa berkenaan, iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita dewasa berusia 24 tahun, dikesan mengalami gejala itu pada Khamis lepas dan kini dirawat di Wad Isolasi Hospital Kuala Krai, Kelantan.

“Satu lagi kes dikesan semalam melibatkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, dirawat di Wad Isolasi Hospital Gua Musang.

“Ketiga-tiga pesakit berada dalam keadaan stabil. Ini menjadikan kumulatif kes sejak 3 Jun hingga 21 Jun 2019 sebanyak 116 kes dengan gejala saluran pernafasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penghargaan dan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat Kebangsaan di Pusat Darah Negara di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Amin.

Dr Dzulkefly juga mengesahkan setakat ini kematian akibat penyakit demam campak (measles) dalam kalangan komuniti berkenaan juga kekal tiga kes.

Dalam pada itu, katanya kementerian setakat ini belum mendapat keputusan ujian makmal terhadap sampel 12 mayat yang ditemukan di Kampung Kuala Koh bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Setakat ini katanya, kementerian menjalankan pemeriksaan antropologi ke atas mayat tersebut bagi menentukan jantina, umur, bangsa, ketinggian dan jangka masa kematian.

Mengulas penularan penyakit itu dalam kalangan komuniti Orang Asli di Kampung Gerdong di Hulu Terengganu dan Kampung Ulu Sat di Jerantut, Dr Dzulkefly berkata hanya terdapat satu kes baharu dilaporkan di Kampong Gerdong, menjadikan jumlah kes setakat ini sebanyak 13 kes, dengan lapan kes disahkan demam campak.

“Tiada kes baharu dikesan dari Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang menjadikan bilangan kes sehingga 20 Jun sebanyak lapan kes, dengan empat kes disahkan ‘measles’ melalui ujian makmal,” katanya yang turut mengesahkan semua kes dari dua kampung berkenaan mempunyai sejarah pergerakan atau kontak dengan komuniti dari Kuala Koh, Gua Musang.

Menurut Dr Dzulkefly, sehingga kini tiada penularan jangkitan demam campak membabitkan perkampungan lain dilaporkan dan pemantauan diteruskan oleh semua Jabatan Kesihatan Negeri.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan dua kes baharu dikesan melibatkan kejadian sesak nafas yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah agama di Pasir Gudang, Johor semalam menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang telah mendapatkan rawatan akibat gejala itu seramai 31 orang iaitu 21 perempuan dan 10 lelaki.

Kedua-dua mangsa merupakan pelajar lelaki Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, dan telah dimasukkan ke wad Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru bagi menjalani rawatan.

“Bagaimanapun enam daripada mereka yang dimasukkan ke hospital sama pada 20 Jun telah pun keluar semalam, nampaknya kes ini tidak begitu serius,” katanya.

Pada Khamis, seramai 15 murid sekolah agama itu, yang lokasinya terletak kira-kira tujuh kilometer dari Sungai Kim Kim yang dicemari toksik Mac lalu, mengalami gejala sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital dipercayai akibat pencemaran udara.

– BERNAMA


Pengarang :