NASIONAL

Wanita warga emas dijumpai mati disyaki dibunuh

BUTTERWORTH, 27 Jun : Seorang wanita warga emas dijumpai mati dengan tangan dan kakinya diikat dipercayai disamun sebelum dibunuh di rumahnya di Taman Merbau Jaya, Sungai Dua di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mayat mangsa, Loo Nyak Sing,71, ditemukan dalam bilik di tingkat atas rumah dua tingkat itu oleh anaknya yang datang melawat mangsa kira-kira pukul 4.25 petang.

“Wanita itu tinggal seorang diri di rumah berkenaan sejak tiga tahun lepas sejak kematian suaminya dan menjadi rutin anak-anak mangsa untuk melawatnya setiap hari sekitar pukul 3 hingga 4 petang,” katanya kepada pemberita di sini.

Katanya anak mangsa datang ke rumah tersebut dan mendapati terdapat kesan darah dari tingkat bawah hingga tingkat atas rumah berkenaan sebelum mengesyaki sesuatu yang tidak diingini telah berlaku kepada ibunya.

Beliau berkata mangsa ditemukan di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah itu dan pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kelar pada bahagian belakang badan serta paha mangsa dan pihak polis tidak menolak kemungkinan berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa.

Noorzainy berkata beberapa barangan berharga mangsa turut hilang dalam kejadian dan polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi kejadian serta kawasan berhampiran dan beliau percaya ia dapat membantu mengesan suspek terlibat.

“Menurut jiran mangsa, kali terakhir melihat warga emas itu kira-kira pukul 4 petang namun mereka tidak nampak sesiapa ke rumah wanita itu dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek terlibat dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata kes itu di siasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis menerusi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. -BERNAMA


Pengarang :