KOTA KINABALU, 14 Julai — Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub memberi makanan ternakan ikan laut kaedah bio tech-PCB ketika melakukan lawatan Projek Ternakan Ikan Laut dan Udang Kara di Kolam Ikan Bakut View Putatan di sini hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

PPK perlu diurus dengan baik-Salahuddin

KOTA KINABALU, 14 JULAI: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mahu semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negara ini diurus tadbir dengan baik dan memastikan aktiviti yang dijalankan, memberi manfaat kepada rakyat.

Justeru, belia berkata, kementeriannya akan memantau aktiviti PPK di negara ini dan memastikan tiada penyelewengan berlaku.

“Mana-mana PPK yang berlaku penyelewengan, saya akan ganggu (pantau) dan PPK yang menjalankan urus tadbir dengan baik, saya tidak ganggu.

“Saya juga tidak mengira latar belakang pimpinan PPK, tetapi saya mahu mereka bekerja untuk rakyat kerana tujuan PPK ditubuhkan menjadi payung kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada lawatan projek ternakan keli Afirka, udang kara air tawar, dan kerapu hibrid, di Kampung Sendil Putatan dekat sini, hari ini.

Pada lawatan itu juga, berlangsung majlis menandatangani Memorandum Pesefahaman (MoU) antara Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan, PCB Biotech Sdn Bhd dan EZ Retail.

Ditemui pemberita selepas majlis itu, Salahuddin berkata terdapat 279 PPK di seluruh negara dengan keahlian seramai 960,000 dan PPK kini sedang dalam proses mengadakan mesyuarat agong dengan separuh daripadanya telahpun selesai mengadakannya.

“Tidak kira siapa mereka (lantikan baharu), saya akan pastikan mereka benar-benar profesional dan berminat dalam mengurus PPK dengan baik, untuk manfaat golongan peladang,” katanya.

Berhubung projek ternakan keli, udang kara air tawar dan kerapu hibrid itu, beliau berkata ia satu aktiviti pertanian yang memberi potensi cukup besar masa hadapan, khususnya kepada ekonomi setempat.

“Saya menggalakkan industri ini berkembang jauh kerana dapat memberikan pekerjaan kepada anak tempatan dan menambah nilai eksport untuk pertumbuhan ekonomi negeri ini dan negara,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :