BALIK PULAU, 27 Julai — Senyuman dan mesra ‘Uncle Roti’… begitulah yang dikatakan oleh penduduk sekitar kawasan Balik Pulau terhadap seorang legenda penjual roti L Muniandy, 56, ketika ditemui melayan pelanggannya membeli roti. Senyuman dan kemesraan yang ditunjukkan oleh Muniandy sejak lebih 30 tahun menjual roti mendorongkan seorang artis jalanan yang dikenali sebagai Acit Raman Abdullah bersama empat rakannya menyiapkan mural wajah Muniandy di sebuah bangunan dua tingkat di Pekan Kongsi sempena Festival Balik Pulau 2019 baru-baru ini. Menurut Facebook Acit Raman Abdullah, beliau memilih Muniandy sebagai mural lukisan sebab ‘Uncle Roti’ terkenal di kalangan penduduk di kawasan Balik Pulau kerana tingkah laku mesra terhadap semua kaum. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
PERSONALITIRENCANA

35 tahun: Roti Kumar terus laris

BALIK PULAU, 27 JUL: L.Muniandi, atau lebih mesra di kalangan penduduk di sini sebagai “Roti Man” atau “Roti Kumar”, cukup dikenali dengan jualan ‘Roti Bangla’ selama kira-kira 35 tahun, sehingga kini masih tidak berhasrat untuk ‘bersara’ dalam masa terdekat ini.

Biarpun di tengah hujan renyai-renyai di pagi Sabtu, penjual ‘Roti Kaya’ berumur 57 tahun ini boleh dilihat dengan baju hujannya berbasikal dengan tenang, sebelum meletakkannya di sebuah dinding yang dihiasi dengan lukisan mural yang memaparkan wajahnya itu.

Dalam temubual dengan Bernama, Muniandi berkata beliau akan terus bekerja menjuaI rotinya di sekitar Balik Pulai dan berjumpa dengan semua penduduk sekiitar sini yang mesra dengannya, walaupun sudah lanjut usia.

Walaupun perniagaannya kini tidak sekencang dahulu, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, katanya wajah mesra pelanggan serta tiga anaknya adalah motivasi terbesar dalam hidupnya untuk terus bekerja.

“Saya kenal ramai penduduk di sini, sering berbual dengan mereka, ramai yang saya lihat mereka bekerja keras walaupun umur sudah lanjut, bekerja sehingga tamat hayat. Sebenarnya saya berpuas hati melihat mereka terus bekerja sehingga akhir hayat, lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa sehingga akhir nyawa,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya setiap sen yang diperoleh dari hasil titik peluhnya itu dilaburkan untuk pendidikan anak-anak, dan hasilnya cukup membanggakan, apabila anak perempuan sulungnya yang berumur 29 tahun kini adalah seorang doktor, manakala anak perempuan keduanya, 25, adalah seorang peguam, dan anak lelaki bongsunya, 19, sedang melanjutkan -pelajaran dalam bindang kejuruteraan kimia di Universiti Teknologi Petronas (UTP) in Perak.

Noraini Yusof, petugas sekolah di SJK(C) Sacred Heart, berkata anak-anak Muniandi dihantar ke sekolah itu, dan beliau amat berbangga melihat anak-anak penjual roti itu membesar dengan cukup berjaya dalam bidang masing-masing.

“Saya kenal Kumar sejak kecil. dia selalu datang ke kampung ini tiap petang menjual roti. Dia kenal kami bagaikan sebahagian daripada keluarga, dan begitu jugalah layanan kami terhadapnya,” katanya kepada Bernama.

Pada 24 Julai Muniandi diberitahu bahawa anaknya ingin membawa beliau bersama isteri untuk bercuti,l sempena sambutan harijadinya, kerana beliau tidak pernah melancong sejak 30 tahun lepas lagi, namun beliau enggan dan sebaliknya bertegas mahukan wang itu digunakan untuk membantu ladang lembu abangnya di Pantai Acheh.

“Saya amat gembira dengan apa yang saya ada, dan di mana saya berada sekarang,” katanya.

Lukisan Mural yang memaparkan wajahnya yang dilukis bertentangan dengan SJK(C) Sacred Heart oleh artis Andhar A Samah, dinaungi oleh Jabatan Seni, Balai Seni Lukis Negara sempena Festival Balik Pulau 2019.

Muniandi berkata beliau masih ingat satu ketika dahulu betapa beliau amat mesra dengan artis grafiti Acit Raman Abdullah yang turut menyumbang kepada lukisan mural berkenaan.

“Semasa kecil, dia suka melukis di tengah jalan kampung ini sehingga saya sering beritahu dia supaya ketepi kerana saya bimbang nanti dia dilanggar basikal saya, tapi kini melihat dia sudah dewasa dan turut melukis wajah saya di dinding, saya sangat gembira,” katanya sambil tertawa.

Katanya beliau amat menghargai sumbagan artis-artis yang menjayakan lukisan mural itu, di samping berterima kasih kepada pelanggannya yang banyak menyokong beliau selama ini.

– BERNAMA


Pengarang :