BERITA UTAMA

Ambil tindakan jika kerja penyelenggaraan gagal siap – Amirudin

KLANG, 17 JUL : Kerajaan Negeri akan bertindak sekiranya kerja penyelenggaraan loji rawatan air berjadual di Selangor gagal disiapkan pada masa yang ditetapkan.

Dato’ Amirudin Shari berkata, pihaknya memantau rapat kerja penyelenggaraan yang dilakukan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Selepas kita (Kerajaan Selangor) mengambil alih sejak setahun yang lalu barulah kerja penyelenggaraan dilakukan secara berperingkat serta berjadual.

“Jika kita biarkan dan tiada kerja penyelenggaraan dilakukan, kemungkinan akan berlaku lebih banyak kerosakan lain sekali gus menjejaskan loji rawatan air yang mana akan memakan masa lebih daripada dua hingga ke tiga minggu.

“Sekiranya tiada penyelenggaraan ia akan lebih menyusahkan penduduk,” jelas beliau ketika mengulas laporan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago yang menggesa rombakan pengurusan kanan Air Selangor perlu dilakukan sekiranya masalah gangguan bekalan air di Lembah Klang pada 23 Julai ini tidak diselesaikan mengikut jadual.

Dalam laporan itu Charles mahu Air Selangor mengambil perhatian serius terhadap gangguan bekalan air yang menjejaskan ribuan pengguna.

Amaran itu dikeluarkan SPAN selepas laporan beberapa kawasan di daerah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 23 hingga 26 Julai ini.

Penutupan bekalan air itu bagi memberi laluan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang akan dilaksanakan pada jam 9 pagi, 23 Julai ini.


Pengarang :