BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

Ekonomi Malaysia berkembang 5.5 peratus pada 2018

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Ekonomi Malaysia berkembang 5.5 peratus pada 2018 dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bernilai RM1.4 trilion pada harga semasa, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, KDNK menyumbang melalui lebihan kendalian kasar berjumlah RM882.5 bilion, manakala pampasan pekerja mencecah RM515.9 bilion, peningkatan RM29.3 bilion pada 2017.

Beliau berkata, cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import adalah RM48.5 bilion berbanding RM64.9 bilion, pada tahun sebelumnya.

“Lebihan kendalian kasar kekal sebagai penyumbang terbesar dalam komponen pendapatan pada 61.0 peratus dan mencatatkan pertumbuhan 7.6 peratus pada 2018, dipacu sektor perkhidmatan yang mencatatkan 9.9 peratus dan disokong perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan.

“Sektor pembuatan mengekalkan pertumbuhan kukuh walaupun pada tahap sederhana pada 7.3 peratus, disokong sebahagian besarnya oleh produk petroleum, bahan kimia, getah dan plastik,” katanya.

Mohd Uzir berkata, sumbangan pampasan pekerja kepada KDNK Malaysia berkembang kepada 35.7 peratus, dengan pertumbuhan 6.0 peratus, dengan momentum sebahagian besarnya dipacu sektor perkhidmatan yang terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan, pada 7.5 peratus.

Pampasan pekerja bagi sektor pembuatan, katanya menyederhana kepada 5.3 peratus daripada pertumbuhan dua angka sebanyak 11.6 peratus pada 2017 ekoran pertumbuhan perlahan dalam semua sub-sektor.

Sementara itu, pampasan pekerja bagi sektor pembinaan dan perlombongan serta pengkuarian masing-masing berkembang 5.1 peratus dan 9.6 peratus, katanya.

Sebaliknya, pampasan pekerja bagi sektor pertanian merosot kepada 9.2 peratus daripada pertumbuhan positif 13.5 peratus pada 2017.

Beliau berkata, kompilasi pendapatan negara kasar (PNK) melaporkan cukai bersih dan cukai tolak subsidi bagi pengeluaran dan import menyumbang 3.4 peratus kepada pendapatan keseluruhan dan menyusut kepada 25.3 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan kecil sebanyak 0.3 peratus, pada tahun sebelumnya.

Dasar cukai negara pada 2018 distruktur semula dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar dari 1 Jun hingga 31 Ogos 31, 2018 sebelum digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Sept, 2018.

“Senario itu secara tidak langsung memberi kesan kepada kemerosotan cukai bagi pengeluaran dan import.

“Lagipun, subsidi turut meningkat yang sebahagian besarnya disebabkan penstabilan harga runcit petrol RON95 dan diesel. Subsidi bahan api meningkat kepada RM7.5 bilion berbanding RM3.1 bilion pada tahun sebelumnya,” kata Mohd Uzir.

Berbanding dengan negara terpilih pada 2018, PNK Malaysia mencatatkan perkongsian peratusan tertinggi bagi lebihan kendalian kasar pada 61.0 peratus manakala Singapura kedua tertinggi pada 53.1 peratus.

Lebihan kendalian kasar terendah dicatatkan negara Eropah dengan Sweden mencatatkan sumbangan sebanyak 31.7 peratus, katanya.

Sementara itu, bagi perkongsian peratusan dalam pampasan pekerja, Amerika Syarikat mencatatkan sumbangan tertinggi pada 52.8 peratus diikuti Kanada pada 50.5 peratus.

Komponen pendapatan dalam PNK adalah dalam bentuk pampasan pekerja, lebihan kendalian kasar dan cukai tolak subsidi bagi pengeluaran dan import.

Perangkaan bagi pendapatan merupakan petunjuk penting untuk menentukan hala tuju pendapatan dalam ekonomi Malaysia. Ia membantu dalam mengenal pasti pulangan pengeluaran kepada isi rumah dan syarikat di Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :