EXCOSELANGOR

EXCO: Hanya 2.8 peratus purata pengangguran di Selangor

SHAH ALAM, 27 JUL: Kadar pengangguran di Selangor mencatat purata sekitar 2.8 peratus setakat ini didorong perkembangan peluang pekerjaan ditawarkan majikan merangkumi pelbagai bidang.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, mengutip dapatan Data Jabatan Perangkaan, jumlah itu sekali gus, mengatasi purata 3.3 peratus kadar pengangguran di Malaysia.

Katanya, sebanyak 3.45 juta rakyat memiliki pekerjaan daripada keseluruhan 6.6 juta kependudukan di negeri itu dengan majoriti 50.8 peratus bekerja dalam sektor perkhidmatan.

 

“Kita bukan mahu menunjukkan peratusan itu sudah cukup membanggakan, tetapi kalau boleh kita tidak mahu tahap pekerjaan sahaja yang menjadi ukuran, sebaliknya rakyat di negeri ini boleh berpendapatan tinggi.

“Malah, kita juga ingin kadar pengangguran boleh menunjukkan indeks paling minimum dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Hari Kerjaya @ Shah Alam, Dewan Teratai Seksyen 19, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi; Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor, Mustafa Deraman dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 7 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohamad Jamil Abdul Rahim.

Pada masa sama, Rodziah berkata, warga Selangor digesa tidak memberi penumpuan terhadap kerjaya makan gaji sahaja, tetapi perlu mencari alternatif menjana pendapatan dengan berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

“Graduan yang memiliki bakat bagus hanya memerlukan sedikit pendedahan dan akhirnya mereka boleh memulakan perniagaan sendiri.

“Memiliki perniagaan sendiri sudah pasti mempunyai kelebihan berbanding kerja makan gaji kerana golongan peniaga adalah mereka yang sentiasa kreatif memikirkan perkara baharu bagi memastikan kelangsungan perusahaan,” katanya.


Pengarang :