SELANGOR

Henti buang dan bakar sampah di Kampung Lombong

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JUL : Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menggesa pihak yang membuang dan membakar sampah secara haram di Kampung Lombong di sini agar menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.

Katanya, hal itu kerana ia bukan sahaja boleh mengakibatkan jerebu bahkan berisiko menyebabkan kebakaran merebak ke kawasan lain.

“Kita berjaya mengesan kegiatan ini di Jalan Lombong Timah 3, di sini yang sudah dilakukan sejak setahun lalu.

“Mereka membuang pelbagai jenis sampah khususnya sisa industri. Dulu tidak banyak macam ini, sekarang longgokan sampah ini semakin banyak,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Zawawi berkata, kebakaran yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan itu menyukarkan kerja pihak bomba kerana mengambil masa yang lama untuk memadam api.

“Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk tindakan susulan.

“Kita juga sudah mengenal pasti tuan tanah ini dan tindakan susulan akan diambil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau melihat sebarang tindakan mencurigakan supaya melaporkannya kepada pihak berwajib.

“Semua pihak juga diingatkan supaya tidak membiarkan tanah atau premis mereka dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada dengan sengaja mahupun tidak,” katanya.

Mereka yang berdegil dan didapati mencetuskan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada, antaranya kompaun sehingga RM500,000 atau penjara, jika sabit kesalahan selain tindakan merampas tanah.


Pengarang :