AGENSISELANGOR

HPWJ mudahkan kerja pembersihan KDEBWM

SUBANG JAYA, 24 JUL: Aliran longkang Pusat Komersil di USJ 21, Subang Jaya kembali lancar selepas KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) melakukan operasi pembersihan menggunakan jentera High Pressure Water Jetter (HPWJ).

Dengan kekuatan 12 petugas, operasi yang bermula pada jam 9.30 pagi dimulakan dengan kerja mengeluarkan sisa sampah dan disusuli penggunaan HPWJ.

Ketua Operasi KEDBWM Subang Jaya, Khairil Khalid berkata, pihaknya menerima aduan longkang tersumbat hingga mengakibatkan banjir daripada pengusaha premis setiap kali hujan.

 

“Hasil tinjauan kita (KDEBWM) mendapati memang berlaku longkang tersumbat dan selepas kajian dibuat, HPWJ perlu digunakan untuk membersihkan sisa sampah.

“Kebiasaannya sisa basuhan dan minyak yang disalurkan ke longkang menyebakaan ia tersumbat. Selepas kerja manual membawa keluar sampah dilakukan, kita menggunakan jentera untuk membersihkan aliran longkang,” katanya.

 

Beliau berkata, KDEBWM mempunyai dua unit jentera HPWJ yang digunakan di 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah seliaannya dan setiap cawangan mempunyai pasukan khas.

Menurutnya, penggunaan jentera berkaitan memudahkan kerja pembersihan longkang di bawah skop kerja KDEBWM dijalankan khususnya permasalahan longkang tersumbat.

“KDEBWM menggunakan jentera yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan teknologi canggih dalam meningkatkan lagi kualiti serta mutu perkhidmatan pengurusan sisa pepejal juga pembersihan awam.

“Selain HPWJ, KDEBWM juga mempunyai jentera Road Sweeper bagi kerja pembersihan khususnya pembersihan jalan raya.

“Selaku syarikat yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor, KDEBWM sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik serta menyediakan jentera juga peralatan bermutu tinggi dalam melakukan kerja pembersihan,” katanya.

Khairil turut menasihatkan penguasa premis makanan supaya memberikan kerjasama tidak membuang sisa masakan ke longkang selain membina penutup longkang yang mudah dibuka bagi melancarkan kerja penyelenggaraan.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :