SELANGOR

iCoMM medium kongsi ilmu pengurusan dan muamalah

 

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

BANGI, 11 JUL: Seramai 94 peserta menyertai Persidangan Antarabangsa Pengurusan Dan Muamalah (iCoMM) Siri Keenam anjuran Fakulti Pengurusan Muamalah Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) di Bangi Hotel Resort, di sini, semalam.

Persidangan selama dua hari bermula 10 julai itu menampilkan 83 pembentang tempatan termasuk 11 pembentang antarabangsa.

Rektor KUIS, Dato’ Abdul Halim Wajidi berkata, persidangan itu diadakan bertujuan memberikan fokus kepada pengurusan dan muamalah.

“Muamalah ini besar, antaranya ia termasuk perbankan, kewangan dan zakat.

“Menerusi perkongsian ini, kita dapat fokus mengenai situasi semasa yang boleh kita kongsi bersama daripada penerbitan,” katanya ketika ditemui media.

Pada masa sama, Abdul Halim berkata, menerusi seminar itu, pihaknya mampu lakukan kajian dan program bagi dijadikan satu produk industri.

“Tujuan kita supaya masyarakat memahami apa yang kita lakukan.

“Saya berharap pihak industri mengambil satu inisiatif menerusi hasil perbincangan seperti Baitul Sadaqah yang dilakukan Bank Islam,” katanya.

Antara pembentang yang hadir daripada universiti tempatan adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Malaysia Kelantan (UKM).

Bagi pembentang antarabangsa, ia mebabitkan Akademi Penyelidikan Shari’ah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA); Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah (uniSHAMS); Kolej Ekonomi Sustaatmadja, Subang, Jawa Barat, Indonesia, (STIESA); Universiti Muhammadiyah Yogyakarta, (UMY).

Turut hadir, Universiti Pendidikan Indonesia (UPI); Usmanu Danfodiyo University Sokoto, Nigeria; OCBC Al-Amin Bank; Bauchi State University Gadau, Nigeria; Universitas Putra Indonesia Yayasan Perguruan Tinggi Komputer (YPTK) Padang dan Universiti Negeri, Jakarta.


Pengarang :