BUDAYARENCANA

Isu sampah haram perlu ditangani segera

KUALA LUMPUR, 31 JUL: Isu pencemaran yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini, menyebabkan masalah itu menghiasi dada akhbar dan menjadi perhatian pelbagai pihak kerana ia bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah melibatkan kehidupan harian masyarakat di negara ini.

Walaupun pelbagai insiatif dilakukan kerajaan dalam menangani isu tersebut, terdapat juga segelintir pihak yang mengabaikan perkara tersebut sehingga mengundang pelbagai permasalahan.

– Gambar Hiasan

Langkah kerajaan pusat dan negeri dalam mengatasi isu tersebut harus dipuji, namun pemantauan yang berterusan perlu dilaksanakan agar isu pencemaran termasuk disebabkan kewujudan tapak pelupusan sampah haram, tidak menjadi semakin parah di negara ini.

Mengikut pemantauan kerajaan Melaka, sehingga kini terdapat 48 lokasi dikenal pasti menjadi tapak pelupusan sampah haram di negeri berkenaan, melibatkan 34 tempat di Melaka Tengah, Alor Gajah (tiga) dan Jasin (11).

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairuladha Ab Mutalib berkata, daripada siasatan dilakukan, pihaknya mendapati pelaku membuang sampah secara haram itu terdiri daripada kontraktor dan individu mengambil upah membuang sisa pepejal dari kilang atau tapak pembinaan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar serta masyarakat, dan mereka (pelaku) sepatutnya lebih bertanggungjawab membuang sampah di tapak pelupusan sampah Sungai Udang, dan tidak mengambil mudah perkara ini bagi mendapatkan keuntungan semata-mata,” katanya.

Beliau turut menasihati tuan tanah agar tidak menyewa atau membenarkan tanah mereka digunakan sebagai tapak pelupusan sampah haram bagi mendapat keuntungan segera kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Di SEREMBAN, sebanyak 15 lokasi tapak pembuangan sampah haram dikesan di seluruh Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, sampah yang dibuang itu melibatkan sampah domestik dan pertanian.

“Tapak pembuangan sampah haram yang kita kesan ini berlaku di kawasan perumahan, tanah perkuburan dan di kawasan Felda. Justeru kita sedang jalankan siasatan termasuk bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab yang membuang sampah termasuk mewujudkan lokasi berkenaan,” katanya.

Di IPOH, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, sehingga 26 Julai lepas, sebanyak 33 lokasi tapak pelupusan sampah haram dikesan di Lembah Kinta berdasarkan aduan orang ramai.

Beliau berkata hampir semua lokasi melibatkan sampah pukal seperti sisa kebun, perabot lama dan sisa industri.

“Pada 2018, sebanyak 25 lokasi sampah haram dikesan,” katanya.

– Gambar Hiasan

Di ALOR SETAR, tiada tapak pelupusan sampah haram baharu dikesan, selain di Kampung Kemumbong, Sidam Kiri, dekat Sungai Petani, namun kerajaan negeri kini menggiatkan usaha mengesan aktiviti yang menyalahi undang-undang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah, Tan Kok Yew berkata pihaknya memandang serius isu tapak pelupusan sampah haram dan tidak mahu ia berulang, justeru mahu aktiviti itu dikesan dan diambil tindakan segera.

Mengikut rekod SWCorp, katanya dalam tempoh 2018 sehingga 2019, terdapat tujuh kes longgokan sisa pepejal tanpa kebenaran sudah berada dalam siasatan, manakala lima kes sudah dibawa ke mahkamah dan disabitkan kesalahan di bawah Akta 672.

Di SHAH ALAM, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor memaklumkan sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi membanteras kewujudan tapak pelupusan sampah haram yang dilihat semakin bercambah kini.

Pengarah JAS Selangor, Shafee Yasir berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai tapak pelupusan sampah haram di beberapa kawasan di negeri itu dan tidak menolak bahawa isu tersebut antara masalah serius yang harus ditangani segera.

“Jawatankuasa khas terdiri daripada JAS Selangor, PBT (pihak berkuasa tempatan) dan kerajaan negeri akan ditubuhkan untuk menggembleng tenaga membendung isu ini dengan segera bagi mengelak ia terus merebak kerana dikhuatiri berisiko mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Di KANGAR, tiada tapak pelupusan sampah haram berskala besar seperti yang dilaporkan wujud di negeri itu, kata Pengarah SWCorp Perlis Mohd Hidy Md Dzahir.

Beliau berkata setakat ini, hanya satu tapak pelupusan sampah beroperasi di Perlis iaitu di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Rimba Emas, Chuping, berkeluasan 3.89 hektar.

Di JOHOR BAHRU, kerajaan negeri akan meneruskan pemantauan ke atas tapak pelupusan sampah haram di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata, sebelum ini sudah ada sebuah jawatankuasa khas di bawah Majlis Perbandaran Iskandar Puteri (MPIB) bagi memantau masalah tersebut.

“Kita juga menggalakkan pihak berkuasa tempatan yang lain untuk menubuhkan ‘task force’ sendiri untuk mengesan tapak pelupusan sisa haram dan sisa pepejal haram di kawasan mereka,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu ke atas tiga kilang di Pasir Gudang, baru-baru ini.

Di KUALA TERENGGANU, tiada tapak pelupusan sampah haram dikesan di Terengganu setakat ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Beliau berkata kejayaan Terengganu dalam membendung aktiviti pelupusan sampah secara haram itu adalah berikutan tindakan pantas semua PBT setiap kali menerima aduan berkaitan.

– Gambar Hiasan

Di KUANTAN, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, pihaknya tidak menerima aduan tentang kewujudan pusat pelupusan sampah skala besar yang beroperasi secara haram di Pahang.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan rakyat yang mempunyai maklumat berkaitan isu itu tampil membuat aduan, supaya siasatan segera dapat dilakukan bagi mengelak masalah tersebut menjadi lebih serius.

Katanya, mereka boleh berbuat demikian menerusi portal aduan Menteri Besar di aduan.wanrosdy.com atau kepadanya secara terus mahupun menyalurkan maklumat kepada PBT di setiap daerah.

Di KOTA BHARU, kerajaan Kelantan akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai status tempat pembuangan sampah termasuk yang beroperasi secara haram di negeri ini, dalam masa terdekat,

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, beliau akan memanggil semua pegawai PBT untuk memberi taklimat mengenai kawasan seliaan masing-masing

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini terutama dalam aspek menjaga kebersihan kawasan kerana tidak mahu kejadian seperti tragedi Sungai Kim-Kim di Johor dan kematian Orang Asli Kaum Bateq di Gua Musang berulang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :